Disember 28, 2024

 

ROMPIN, 3 Feb. —  “Berat sama dipikul ringan sama dijinjing” ialah pepatah paling sesuai untuk menggambarkan kerjasama erat barisan pemimpin pelajar Universiti Teknologi Malaysia berbakti kepada pantai yang dicemari pelbagai bahan buangan.

Kerjasama erat ini diterjemahkan melalui inisiatif anggota Majlis Perwakilan Pelajar UTM yang menjalankan Program Pembersihan Pantai di Pantai Hiburan Rompin baru-baru ini.

Program tersebut diadakan untuk memberi kesedaran tentang keindahan pantai yang sepatutnya dinikmati oleh semua dirosakkan oleh sikap segelintir masyarakat yang kurang peka terhadap kesan sampah dan pencemaran kepada alam.

Dalam program tersebut, seramai 25 orang anggota MPP bersama-sama enam pegawai dari Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) menyertai aktiviti ini yang mengetengahkan kerja pembersihan pesisir pantai sebagai fokus utama di samping beraktiviti riadah dan penghayatan tentang penjagaan alam sekitar yang dipimpin oleh Pengarah Pusat Kaunseling UTM, Dr. Zulfikar Ahmad.

Presiden MPP UTM, Muhammad Ikhmal Borhan berkata program sebegini dapat meningkatkan kesedaran ahli kelab tentang keprihatinan terhadap alam sekitar, kepentingan berbakti kepada masyarakat dan menanamkan sifat memberi dalam diri setiap orang.

“Pelajar-pelajar UTM juga akan terus memperkasakan lagi program-program sebegini dan berbakti kepada masyarakat dan negara” tambahnya lagi.

Seorang ahli MPP, Poovarasan Avadaiyar berkongsi kebimbangan tentang keadaan kebersihan pantai dan berharap agar kesedaran penjagaan alam sekitar ini sentiasa dititikberatkan dalam falsafah pendidikan negara.

“Diharap kesedaran ini akan tertanam di dalam segenap jiwa warganegara agar satu hari nanti nama Malaysia setanding dengan negara seperti Jepun yang sememangnya masyhur dengan kebersihannya.” ujar beliau lagi.

Pandangan sama turut dikongsi oleh seorang lagi ahli MPP, Yap Sin Yee yang percaya jika pantai Rompin bersih, bebas daripada plastik atau sampah, sudah pasti ia akan indah dipandang sekali gus menjadi daya tarikan kepada sektor pelancongan.

Dalam aktiviti yang turut disertai oleh Timbalan Pendaftar HEP, Arman Md Yassin itu, sebanyak 12 guni plastik sampah berjaya dikumpulkan dalam tempoh 2 jam.

Antara yang dikutip termasuk pinggan dan mangkuk polistirena, cawan, botol plastik, sisa  bahan binaan, dulang, payung, paip, pakaian, beg, bekas serta pembalut makanan, straw dan banyak lagi.

Explore More