Disember 3, 2024

Search
Close this search box.

Sukarelawan KRP Sahut Agenda Lestari Universiti dan UTM Prihatin Melalui Riverdale dan KSC

Oleh Insyirah Binti Abd Razak

JOHOR BAHRU,14 Dis – Sukarelawan pelajar dari Kolej Rahman Putra (KRP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyantuni agenda kelestarian universiti dan menyahut seruan untuk sentiasa menjaga kebersihan sungai melalui projek bersiri yang dinamakan ‘Riverdale’.

Riverdale yang bertemakan “God’s Wonder, Natural Treasure” bermatlamat untuk melestarikan alam sekitar khususnya sungai di UTM.

Riverdale fasa pertama telah diadakan pada 30 September 2018, sempena Hari Sungai Sedunia di mana sukarelawan membersihkan kawasan persekitaran sungai, manakala fasa kedua pula menfokuskan sumbangan tenaga ikhlas sukarelawan membuat mudball di bawah bimbingan Unit Ladang dan UTMCS dan sebanyak 1300 mudball berjaya dihasilkan.

Kali ini, Riverdale telah mencapai ke fasa ketiga, di mana pelancaran mudball diadakan di sungai berdekatan KRP.

Pengarah Kampus Lestari UTM, Prof Madya Dr Mohd. Fadhil Bin Md Din berkata, program ini adalah program yang berterusan dan sebuah bentuk perjuangan yang tidak berkesudahan dan menggalakkan kolaborasi dan sinergi bersama kolej-kolej dan fakulti-fakulti yang lain.

“Hasil kerjasama yang besar mampu mencambahkan idea yang lebih bernas dan impak yang lebih besar, ” katanya.

Beliau juga mendedahkan tentang hidupan kelip-kelip yang habitatnya di pokok berembang yang terdapat banyak di Kolej Rahman Putra.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Dr Durrishah binti Idrus semasa merasmikan berkata, program ini membentuk kesedaran di kalangan mahasiswa agar cakna dan tidak kiasu dengan isu alam sekitar dan menggalakkan sokongan daripada golongan mahasiswa.

Beliau turut menegaskan jika setiap individu hanya mementingkan diri sendiri, kita hanya akan mencipta alasan dan mengelak dari masalah tanpa berusaha untuk menyelesaikan.

Pada majlis perasmian tersebut, 300 mudball telah dibaling ke dalam sungai berdekatan Dewan Seri Meranti, KRP.

Pertunjukan demostrasi ujikaji pencerapan kualiti air turut diadakan oleh wakil Arachem, Heng Keng Kek di mana sampel air telah diambil pada tiga lokasi iaitu kawasan sungai sebelum loji, dalam lingkungan loji dan selepas kawasan loji.

Walaupun hasil ujikaji menunjukkan pH air sungai dalam purata 6-7 yang menunjukkan normal bagi air sungai, ianya adalah tidak selamat untuk diminum malah aktiviti seperti berkayak juga agak berisiko kerana kandungan E.coli dan F.coli di dalam sungai yang mampu menjejaskan kesihatan manusia.

Di sinilah peranan mudball sebagai agen biologi yang diperbuat daripada tanah, baja dan EM untuk membersihkan sungai dari E.coli dan F.Coli yang mencemarkan sungai dan ia mampu mengekalkan kualiti air sungai.

Selain itu turut dirasmikan ialah bilik Kolej Rahman Putra Sharing and Caring (KSC).

Pembukaan bilik KSC ini bertujuan membantu pihak yang memerlukan dan menggalakkan mahasiswa untuk bekerja dan berusaha untuk mendapatkan sesuatu dan nilai wang bukanlah segalanya untuk mendapatkan apa yang dikehendaki.

Bilik KSC yang terletak di hadapan Dewan Seri Meranti ini telah mula beroperasi sejak awal Disember dan mendapat perhatian dan sambutan baik daripada pelajar.

Beberapa koleksi pakaian terpakai sedia diambil oleh mereka yang memerlukan, dengan membalas dalam bentuk tenaga kerja yang sesuai dan tanpa bayaran.     

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Pengarah Kampus Lestari UTM, Dr Shazwin binti Mat Taib, wakil syarikat Arachem, Heng Keng Kek, Penolong Pengurus Ladang, En Muhammad bin Md Sum, dan wakil Unit Landskap Pejabat Harta Bina, En. Qamaruzaman Bin Mohd Noor

Seramai 173 peserta yang terdiri daripada mahasiswa Kolej Rahman Putra, pelajar antarabangsa daripada Jepun, India dan Indonesia turut menyertai program pada hari berkenaan.

Program lestari ini dijalankan secara berperingkat dan berterusan adalah hasil kerjasama induk bersama pihak UTMCS dan beberapa pihak lain seperti Unit Landskap dan Unit Ladang,Pejabat Harta Bina, dan syarikat pembekal peralatan makmal, Arachem.

Explore More