November 28, 2024

Search
Close this search box.

MALAYSIA-JAPAN INTERNATIONAL INSTITUTE OF TECHNOLOGY (MJIIT) SEBAGAI PENERAJU GLOBAL PENDIDIKAN KEJURUTERAAN BERORIENTASI JEPUN

Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) merupakan salah sebuah Fakulti di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Berdasarkan aspirasi polisi Pandang ke Timur (Look East Policy) oleh Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia, MJIIT telah ditubuhkan pada 26 Mei 2010. Dengan matlamat untuk menawarkan pendidikan kejuruteraan berorientasikan gabungan budaya Timur dan nilai-nilai murni Malaysia dan Jepun, seiring inspirasi kejayaan menguasai ekonomi dunia hasil ketekunan, disiplin serta kegigihan masyarakat Jepun yang disertai dengan sokongan konsortium yang dianggotai oleh 29 buah Universiti Jepun, MJIIT adalah merupakan

Peneraju Global Pendidikan Kejuruteraan Berorientasi Jepun

A Leading Japan – Oriented Engineering Education.

 

Bangunan Malaysia-Japan International Institute of Technology, Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur

MANDAT SERTA AUTONOMI KEPADA MJIIT
Persetujuan terhadap penubuhan MJIIT sebagai sebuah Fakulti di UTM adalah berasaskan kepada keputusan Mesyuarat Kabinet Malaysia yang antaranya mempersetujui bahawa:

i. MJIIT akan ditempatkan di UTM Kuala Lumpur sebagai sebuah institusi berautonomi di bawah UTM.

ii. MJIIT mengenakan yuran pengajian berdasarkan harga pasaran semasa yang kompetetif sebagai sumber utama pendapatannya.

iii. MJIIT menjadi alternatif untuk mengurangkan kos menghantar pelajar ke Jepun.

Top 10 Reasons Why Students Choose MJIIT

KEISTIMEWAAN, KEUNIKAN SERTA NILAI TAMBAH MJIIT

MJIIT adalah sebuah fakulti yang memiliki autonomi serta program kejuruteraan yang unik di UTM. MJIIT turut menawarkan pelbagai kelebihan, kemudahan, keistimewaan serta bantuan kewangan kepada pelajar yang memilih untuk melanjutkan pelajaran di MJIIT melalui penawaran program mobiliti global terutama yang melibatkan universiti-universiti serta rakan industri di Jepun, latihan industri di Jepun bagi pelajar yang mempunyai prestasi cemerlang, kursus-kursus lanjutan penguasaan Bahasa Jepun serta pelbagai peluang pembelajaran yang berorientasikan pendidikan Jepun seperti berikut:

i. Global Mobility Program (GMP)

Pelajar yang membayar yuran penuh bermula semester 2016/2017 akan terlibat dalam “Global Mobility Program (GMP)”. Pelajar akan ditaja oleh MJIIT dengan kos sebanyak RM10,000 seorang merangkumi kos tambang kapal terbang, insuran, penginapan, pengangkutan dan elaun berkaitan. Ini termasuk kelebihan pindahan kredit bagi subjek yang di ambil sepanjang program namun haruslah menepati 80 peratus kesamaan silibus di antara UTM dan rakan Universiti di Jepun.

ii. Bantuan Kewangan (Financial Assistance)

Bagi pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan, iaitu pelajar-pelajar kumpulan B40 dan M40, MJIIT menyediakan dan menawarkan bantuan kewangan bagi membolehkan pelajar-pelajar ini belajar di sebuah institusi yang mempunyai hubungan langsung dengan Jepun. Oleh itu, bagi pelajar yang mengikuti program MJIIT, bantuan yang diberikan akan memberi manfaat pendidikan yang memberikan keistimewaan kepada MJIIT berbanding Fakulti lain di UTM mahupun skim pendidikan lain di Malaysia.

Walaubagaimanapun, bantuan kewangan tersebut akan diberhentikan sekiranya pelajar kemudiannya mendapat tawaran daripada JPA, MARA atau badan tajaan lain pada jumlah yang mencukupi untuk membayar yuran bagi meneruskan pengajian di MJIIT. Namun, pelajar tidak perlu membayar balik jumlah bantuan yang telah diberikan oleh MJIIT.

Pelajar yang menerima bantuan kewangan daripada MJIIT berpeluang untuk menghadiri program-program di Jepun seperti Summer School, JENESYS Programme (Japan-East Asia Network of Exchange for Students and Youths) dan Sakura Exchange Program (di mana pemilihan pelajar adalah tertakluk kepada pencapaian akademik terkini). Selain itu, MJIIT menyediakan kemudahan pengajian seperti makmal berteknologi tinggi yang merangkumi kesemua disiplin kejuruteraan yang ditawarkan.

iii. Japanese-Oriented Engineering Education

Lanjutan daripada program pendidikan kejuruteraan berorientasikan Jepun yang disokong oleh konsortium yang dianggotai oleh 29 buah Universiti Jepun, MJIIT telah berjaya melaksanakan usaha penambahbaikan berterusan terhadap pengalaman pembelajaran yang berorientasikan budaya dan etika Jepun. Antara inisiatif yang telah diambil termasuklah bekerjasama dengan Akademi Bahasa UTM dalam penawaran kelas Bahasa Jepun hasil kerjasama dengan pihak sukarelawan Jepun daripada MJIIT dan Japan International Cooperation Agency (JICA).

Melalui program ini, MJIIT menawarkan peluang kepada pelajar untuk mengambil modul Japanese Language Proficiency Test (JLPT) pada tahap N5 pada tahun kedua pengajian selepas pelajar memenuhi syarat Bahasa Jepun modul 1, 2 dan 3. Selain itu, pelajar turut berpeluang untuk meneruskan modul JLPT N4 yang mana sijil N5 dan N4 adalah merupakan salah satu syarat yang diperlukan oleh pihak industri untuk mendapatkan peluang pekerjaan di Jepun. Inilah antara keunikan MJIIT berbanding dengan Fakulti lain di UTM selain pendedahan modul Ningen-Ryoku di dalam sistem pembelajaran yang menekankan kemahiran insaniah di dalam pengajaran dan pembelajaran.

iv. Kemudahan Pembelajaran

Pelbagai kemudahan pembelajaran dan pengajaran turut disediakan di MJIIT hasil kerjasama dengan pihak industri. Kemudahan utama adalah 72 makmal penyelidikan mengikut pengkhususan kumpulan penyelidikan berkonsepkan budaya Jepun iaitu iKohza. Pengurusan iKohza ini melibatkan Professor dari Jepun yang bertugas di MJIIT selain sumbangan industri kepada iKohza seperti makmal penyelidikan Takasago, makmal penyelidikan bersama Universiti Yamaguchi, JASTIP Joint Laboratory di bawah Disaster Preparedness and Prevention Center (DPPC), makmal penyelidikan pengurusan bencana dll.

v. Sokongan daripada Negara Jepun

Negara Jepun, melalui projek pendidikan MJIIT memberikan sokongan padu melalui hubungan langsung Japanese University Consortium (JUC) oleh 29 Universiti Jepun, penubuhan dan operasi Pejabat JICA di MJIIT dan kerjasama industri melalui The Japanese Chamber of Trade & Industry, Malaysia (JACTIM). JACTIM telah menawarkan pelbagai peluang latihan industri dan pekerjaan kepada pelajar dan graduan MJIIT sama ada di Malaysia mahupun di Jepun.

Pihak Kedutaan Jepun di Malaysia turut memberikan pelbagai sokongan melalui program-program libatsama dengan Kerajaan Jepun melalui acara tahunan MJIIT seperti program Premier Lecture oleh Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir Mohamad, program Japan Day, Leadership Lecture oleh His Excellency Ambassador of Japan to Malaysia dll.

KOMITMEN UTM SERTA KERAJAAN MEMBERIKAN PENDIDIKAN BERKUALITI MELALUI SUBSIDI PENGAJIAN DI MJIIT

Selain keistimewaan yang ditawarkan serta nilai tambah signifikan yang tidak terdapat di Fakulti lain di UTM mahupun di Universiti lain seperti yang telah dinyatakan, pihak UTM dan kerajaan komited untuk memberikan pendidikan berkualiti serta bernilai tinggi yang terbaik kepada pelajar pada kos yang berpatutan. Kos sebenar untuk mengikuti pengajian tanpa subsidi di MJIIT adalah RM 79,868 untuk 4 tahun atau 8 semester. Namun pihak Universiti telah bersetuju untuk menanggung 49 peratus daripada yuran berkenaan, sekaligus mengurangkan yuran yang dikenakan kepada pelajar MJIIT kepada RM 40,000 untuk 4 tahun atau 8 semester. Pada 16 Mei 2016, Jawatankuasa Kewangan UTM telah meluluskan cadangan kenaikan yuran pelajar MJIIT berjumlah sebanyak RM5,000 per semester (bagi pengambilan pelajar semester 2016/2017 dan seterusnya). Kadar Yuran MJIIT yang baharu ini telah mendapat persetujuan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia pada tahun yang sama.

KE ARAH MEMBANGUNKAN NEGARA MALAYSIA YANG MAJU

Berdasarkan peluang pembelajaran serta pengajaran berkualiti dan bernilai tinggi yang ditawarkan kepada pelajar MJIIT, adalah menjadi hasrat dan aspirasi UTM dan Malaysia agar MJIIT menjadi Peneraju Global Pendidikan Kejuruteraan Berorientasi Jepun, seterusnya memenuhi aspirasi Polisi Pandang ke Timur Malaysia bagi membangunkan sebuah negara maju yang mengamalkan nilai-nilai Timur yang murni berpaksikan ketekunan, disiplin serta kegigihan hasil silang budaya Malaysia –Jepun demi kelangsungan kejayaan sosial dan ekonomi negara di persada dunia.

 

Explore More