JOHOR BAHRU, 7 Nov. – Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM pada hari ini telah menerima kunjungan delegasi daripada Politeknik Sultan Ahmad Shah (POLISAS), Pahang dalam rangka lawatan benchmarking pengurusan kualiti akademik.
Lawatan ini adalah satu keperluan yang telah disyaratkan oleh pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi memastikan program diploma yang dijalankan di POLISAS adalah sesuai dengan kehendak semasa dan akan datang dan ditadbirurus dengan baik.
Delegasi ini terdiri daripada 21 orang pensyarah dari program Senibina dan Kejuruteraan Geomatik yang diketuai oleh Ketua Jabatan Kejutureraan Awam, Cik Radizah Binti Hashim, Ketua Program Senibina, Puan Rosmiza Wira dan Ketua Program Kejuruteraan Geomatik, En. Noor Khairul Idham Nordin.
Delegasi telah diraikan oleh pengurusan fakulti yang ketuai oleh Dekan FABU, Prof. Dr. Mohd Hamdan Ahmad dengan kerjasama Pejabat Akademik Prasiswazah FABU di bawah seliaan Penolong Pendaftar Kanan, En. Nurul Amrie Abdullah.
Antara pengisian program lawatan adalah taklimat pengurusan kualiti akademik dan diikuti dengan sesi penasihatan pengurusan akademik secara khusus bagi program Senibina dan Kejuruteraan Geomatik.
Delegasi POLISAS turut berminat untuk mendalami aspek pengecualian kredit yang diberikan kepada lepasan diploma POLISAS bagi tujuan menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di FABU.
Delegasi turut dibawa melawat fasiliti dan kemudahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) pada sebelah petang yang merangkumi Pejabat Akademik Prasiswazah, Galeri Alam Bina dan Ukur, Makmal Teknologi Binaan, Makmal Komputer Senibina, Pusat Kajian Alam Bina Dunia Melayu (KALAM), Studio Senibina, serta Makmal Ukur Kejuruteraan dan Kadaster.