November 26, 2024

Search
Close this search box.

Program Bulan Keusahawanan Siswa 2018 Semarak Semangat Keusahawanan Mahasiswa

JOHOR BAHRU, 30 Okt. – Kemahiran berdaya usaha atau ‘enterprising skills’ ini ialah salah satu kemahiran yang diperlukan oleh seseorang graduan bukan sahaja dalam ekosistem perniagaan tetapi juga oleh para majikan dalam mencari tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam organisasi mereka.

Pro-Naib Canselor (Strategi) UTM, Prof. Dr. Shahrin Mohamad berkata, para graduan yang mempunyai kemahiran berdaya usaha yang tinggi bukan sahaja akan mempunyai peluang dalam memberikan nilai tambah kepada organisasi yang disertai, tetapi juga dapat menjadi satu aset kepada negara dalam mencipta peluang-peluang baharu seperti penawaran produk dan perkhidmatan yang inovatif dan penciptaan peluang pekerjaan yang dinamik kepada negara.

Beliau berkata demikian sewaktu merasmikan Majlis Penutupan Program Bulan Keusahawanan Siswa 2018 di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru pagi tadi.

Penganjuran Program Bulan Keusahawanan Siswa 2018 oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan juga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) adalah bertujuan menyemarakkan semangat keusahawanan di kalangan mahasiswa Universiti Awam (UA) Malaysia.

Program anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ini juga adalah selari dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) dan juga objektif utama di dalam Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2016-2020 bagi melahirkan graduan yang bersifat hilistik serta mempunyai minda keusahawanan.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Unit Keusahawanan dan Public-Private Research Network (PPRN), Normalia Ibrahim dan juga Pengarah Pusat Inovasi Mahasiswa dan Keusahawanan Teknologi (UTMXCITE), Prof. Madya Dr. Mohd. Zaidi Abd. Rozan.

Prof. Shahrin turut menambah, UTM mempunyai peranan yang penting dalam mengukuhkan ekosistem keusahawanan siswa yang holistik bagi melahirkan para graduan yang bukan sahaja dapat memenuhi keperluan industri malah mempunyai minda keusahawanan yang inovatif serta mempunyai kemahiran berdaya usaha.

“Melalui Pusat Inovasi Mahasiswa dan Keusahawanan Teknologi (UTMXCITE), UTM telah merangka dan menjalankan pelbagai program-program pembangunan keusahawanan berimpak tinggi yang bukan sahaja dikhususkan kepada mahasiswa UTM malahan juga di seluruh Malaysia.

“UTMXCITE telah banyak melaksanakan jalinan kerjasama dengan pelbagai pemegang-pemegang taruh di Malaysia dalam pembangunan inovasi dan keusahawanan negara seperti Malaysia Technology Development Corporation (MTDC), Malaysian Global Innovation & Creativity Centre (MaGIC), Perbadanan Usahawan Johor, SME Corporation dan juga agensi-agensi kerajaan yang lain.

“Hasil daripada jalinan kerjasama ini, banyak program telah berlangsung seperti Mini Wealth Creation Lab at Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), MTDC Business Challenge 2018 (MBC’18), UNIMAKER dan Startup Weekend Johor Bahru@UTM yang melibatkan kelompok masyarakat yang terdiri dari mahasiswa, pelajar sekolah dan juga orang awam,”katanya.

Prof. Shahrin kemudiannya menyampaikan hadiah kemenangan kepada pemenang pertandingan UNIMAKER Zon Selatan dimana Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UteM) berjaya mendapat tempat pertama dan juga UTM di tempat kedua manakala Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di tempat ketiga.
Selain tempat ketiga, UTHM juga berjaya mendapat kemenangan tempat keempat dan kelima menerusi kumpulan yang berbeza.

Kelima-lima juara Zon Selatan ini akan menyertai pertandingan UNIMAKER peringkat kebangsaan yang akan berlangsung pada 23 hingga 24 November 2018.

Prof. Shahrin (dua kanan) melawat salah sebuah gerai pameran usahawan pelajar UTM sewaktu Program Penutupan Bulan Keusahawanan Siswa 2018 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar pagi tadi.
Prof. Shahrin bersama para pemenang program UNIMAKER Zon Selatan

Explore More