Kuala Lumpur, 29 Mac 2018- Majlis Penganugerahan Sijil Profesional dalam Pemodelan Maklumat Bangunan (Building Information Modelling, BIM) kepada 10 pensyarah dari pelbagai politeknik dan kolej komuniti di seluruh Malaysia telah diadakan di Grand Petra Ballroom, Royal Widad Residence @UTMKL. Pengarah Bahagian Kecemerlangan Profesional, Jabatan Pendidikan Politeknik, Kementerian Pendidikan Tinggi, Tuan Haji Mohamad Amin bin Hamat telah menyempurnakan majlis penyerahan sijil tersebut.
Program Sijil Profesional BIM berlangsung selama 5 bulan, dengan memberi tumpuan kepada kemahiran menghasilkan dan mengelola maklumat digital bangunan secara 3-D kepada pensyarah-pensyarah Politeknik dan Kolej Komuniti. Program ini sejajar dengan Tranformasi Industri Pembinaan di Malaysia masa kini, iaitu ke arah sistem reka bentuk pembinaan bersepadu dan mampan. Program ini juga melaksanakan pedagogi Pengajaran dan Pembelajaran untuk persiapan Revolusi Industri 4.0 abad ke-21.
Program Sijil Profesional BIM telah dianjurkan oleh Institut Sultan Iskandar UTM (ISI), salah satu pusat kecemerlangan dalam penyelidikan, perundingan dan latihan di UTM, yang menekankan prinsip kelestarian dalam perbandaran. ISI yang ditubuhkan pada 1991 mengendali Pusat Latihan Autodesk UTM (UTM-ATC) yang merupakan salah satu pusat ATC perintis di Malaysia yang menjalankan Latihan Sijil Profesional dalam pemodelan berpandukan perisian komputer. ISI menggabungkan kepakaran di kalangan akademia dan industri, bertindak menjadi jambatan merapatkan jurang antara dua dunia ini. Dalam Program ini, ISI telah bergabung dengan sebuah firma gergasi BIM, yang diterajui oleh alumni UTM sendiri, iaitu BIMASIA Sdn Bhd.
Para peserta Program Sijil Profesional BIM ini mempelajari konsep, penggunaan, perlaksanaan, aplikasi teknologi dan perisian BIM dalam tiga modul utama: BIM Modeler, BIM Coordinator dan BIM Management yang berlangsung selama 3 bulan, bermula 1 November 2017 hingga 31 Januari 2018 di Pusat Latihan Autodesk UTM, Institut Sultan Iskandar UTMKL. Seterusnya, peserta mengikuti Latihan Industri di BIMASIA selama 2 bulan pada 1 Februari sehingga 28 Mac, 2018. Latihan 5 bulan dalam BIM menyediakan ilmu kemahiran BIM yang mendalam dan tinggi yang diperlukan untuk seorang pengamal BIM.
Bagi modul BIM Modeler, peserta mempelajari perisian 3-DAutodesk Revit, serta aplikasi BIM Sustainability Analysis. Untuk modul BIM Coordinator, peserta diajar membuat koordinasi dari pelbagai disiplin iaitu senibina, pembinaan, sistem bangunan, pengurusan fasiliti dan infrastruktur. Bagi modul BIM Manager, mereka didedahkan dengan BIM Management, BIM Standard serta BIM Contractual. Peserta juga berpeluang menjalani kajian kes di Unit BIM Jabatan Kerja Raya dan 6th Design Office disamping menyertai kursus professional tambahan Industrialised Building System (IBS CIDB). Dalam Latihan Industri di BIMASIA, mereka berpeluang mempraktikkan kemahiran dalam projek BIM sebenar dunia praktis. Keseluruhannya peserta mendapat dedahan yang menyeluruh; 50% dalam kemahiran praktikal dan strategi pengurusan BIM; 10% dalam kajian kes dari industri BIM; dan 40% Praktis BIM.
Peserta program ini berjaya meraih beberapa sijil Professional; pertama, Sijil Profesional Autodesk Revit Architecture, Sijil Pentauliahan CIDB BIM Modeller, Sijil Pentauliahan CIDB BIM Coordinator dan tambahan Sijil UTM-ATC BIM for Sustainability Analysis.
Ketua Bahagian ISIKL merangkap Ketua Program BIM, Prof. Madya Dr Gurupiah Mursib dalam ucapannya merakamkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi terutama Jabatan Pendidikan Politeknik (JPP) dan Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti (JPKK) atas kepercayaan dan sokongan berterusan kepada ISI untuk mengendalikan program ini. ISI yang menjadi penghubung dalam industri pembinaan antarabangsa dan tempatan akan sentiasa berjuang merealisasikan penerapan teknologi pembinaan mampan menerusi BIM di peringkat pendidikan tinggi dan industri. UTM melalui ISI komited untuk berkhidmat untuk memperjuangkan kemampanan menerusi teknologi berpandukan BIM untuk melahirkan lebih banyak wira yang mendokong Revolusi Perindustrian Malaysia 4.0.