Disember 22, 2024

Semua kafeteria di UTM sertai program makanan percuma

JOHOR BAHRU, 15 Februari 2018 – Semua pengusaha makanan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru akan menawarkan perkhidmatan makanan percuma sumbangan penderma mulai bulan ini.

Profesor Dr. Durrishah bersama pengusaha kafetaria yang menerima kupon makanan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Profesor Dr. Durrishah Idrus berkata, program yang dinamakan “suspended meals” bertujuan menggalakkan penderma membelikan makanan secara prabayar untuk pelanggan lain yang kurang bernasib baik.

Menurutnya, langkah berkenaan dijangka mampu membantu lebih 1,000 pelajar setiap minggu untuk mendapatkan makanan secara percuma di dalam kampus.

“Melalui inisiatif ini, penderma boleh menaja kupon makanan yang diletakkan di papan kenyataan khas untuk dimanfaatkan oleh pelajar atau pelanggan yang memerlukan.

“Para penyumbang yang ingin menderma boleh terus menghulurkan sumbangan mereka kepada pengusaha kafeteria atas dasar kepercayaan dan tiada semakan dibuat terhadap penerima kupon itu,” katanya semasa melancar program berkenaan.

Di majlis pelancaran yang diadakan di Dewan Senat, sebanyak 100 kupon telah diagihkan kepada semua pengusaha makanan yang beroperasi di kampus Johor Bahru.

Sementara itu Naib Presiden (Aktiviti) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Muhammad Faiq Mohammed Faisal berkata, program berkenaan sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban berbelanja pelajar, terutama untuk membeli makanan.

“MPP menyokong penuh usaha ini dan berharap lebih banyak pihak tampil untuk memberikan sumbangan bagi menjayakan program yang sangat bermakna, terutama bagi mereka yang datang dari kalangan keluarga yang berpendapatan rendah,” katanya.

Manakala pengusaha kafetaria Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI), Juriah Jusoh berkata, program itu dapat meringankan beban pelajar dan berharap dapat diteruskan secara berkala.

“Selain membantu mereka yang memerlukan, program ini dapat memberi ruang yang lebih luas kepada penderma untuk menyumbang dan menyelesaikan masalah pelajar yang terpaksa menahan lapar berikutan tidak cukup perbelanjaan harian,” katanya.

Manakala Mohammad Saad Jasem yang mengusahakan Instanbul Restaurant di Arked Cengal  berkata, beliau menyokong seratus peratus usaha usaha murni itu yang dapat membantu meringankan beban pelajar.

“Saya percaya, lagi banyak kita berkongsi rezeki lagi murah rezeki yang kita dapat dan saya mahu menjadikan program ini sebagai platform untuk menggerakkan konsep menderma dan memberi dalam kalangan usahawan,” katanya.

Explore More