JOHOR BAHRU, 30 Januari 2018 – Penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) digesa menghasilkan hasil penyelidikan yang berimpak tinggi serta boleh dimanfaatkan oleh masyarakat, industri dan negara bagi membolehkannya digunakan bagi menyelesaikan permasalahan semasa.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, pihaknya akan memberikan lebih penekanan terhadap aspek kualiti, input, inovasi dan pengkomersialan bagi setiap hasil penyelidikan yang diusahakan penyelidik universiti ini.
“Kita mahukan hasil penyelidikan yang berorientasikan masyarakat serta mampu menjadi penyelesai masalah sebenar yang dihadapi pihak industri dan negara secara amnya.
“Keperluan untuk menghasilkan penyelidikan yang boleh dikomersilkan kini amat kritikal dan menjadi keutamaan,” katanya semasa meyampaikan Amanat Tahun Baru yang bertajuk ‘Beyond the Norm : Going Beyond the Best’ yang berlangsung di Dewan Senat, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM kampus Johor Bahru pagi tadi.
Sehubungan dengan itu, beliau meminta para penyelidik UTM agar mengubah cara kerja mereka kepada lebih profesional dan pihaknya tidak mahu lagi melihat hasil penyelidikan yang tidak memenuhi spekfikasi serta tidak berasaskan keperluan semasa.
“Keperluan semasa menuntut kita semua sebagai penyelidik untuk mengubah cara kerja kita.
Bermula kini, kita haruslah bekerja dalam kumpulan dan berkongsi kepakaran antara satu sama lain,” katanya.
Beliau berkata, sebagai institusi pengajian tinggi yang berasaskan penyelidikan, penyelidik haruslah sentiasa menjalinkan perhubungan dengan pelbagai agensi kerajaan, industri dan masyarakat bagi mendapatkan lebih input mengenai permasalahan semasa yang boleh diselesaikan melalui kepakaran mereka miliki.