JOHOR BAHRU, Projek penyelidikan bertajuk Tiub Mikro tiga Lapisan Sel Bahan Api Pepejal Teroksida: Penjana Elektrik Padat berjaya memenangi anugerah “Best of the Best” di Innovate Johor 2017 yang berakhir semalam.
Projek berkenaan yang dihasilkan oleh sekumpulan penyelidik Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC) memenangi hadiah geran penyelidikan berjumlah RM50 ribu, piala dan sijil.
Ketua Projek Prof. Madya Dr Mohd Hafiz Dzarfan Othman berkata, tiub mikro tiga lapisan itu ialah membran berkos rendah yang diperbuat daripada bahan seramik berkonduktiviti dan disediakan melalui kaedah penyongsangan fasa dalam satu langkah.
Beliau berkata, dengan menggunakan teknik berkenaan tiub mikro tiga lapisan yang terdiri daripada anod, elektrolit dan katod dapat dihasilkan dengan satu langkah sahaja.
“Hasilnya, pada suhu 500 darjah Celcius, sel tersebut menghasilkan ketumpatan kuasa maksimum yang paling tinggi iaitu 23.2 kWm-2 berbanding sel planar 8kWm-2.
“Prestasi cemerlang penghasilan tenaga elektrik ini dapat ditingkatkan kepada RM0.92/Watt berbanding RM3.30/Watt daripada sumber yang sedia ada,” katanya.
Dr Mohd Hafiz Dzarfan berkata, selain itu, tiub mikro berkenaan juga mempunyai prestasi cemerlang dalam menangani kekotoran dan mempunyai jangka hayat lebih daripada lima tahun.
Beliau berkata, rekacipta berkenaan telah menerima beberapa kolaborasi di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Antara kerjasama yang telah dijalankan di peringkat nasional adalah pemerteraian memorundum persefahaman (MoU) antara AMTEC dan Sime Darby, Malaysia.
“Bagi peringkat antarabangsa, rekacipta ini telah menerima dana penyelidikan daripada Nippon Sheet Glass Foundation, Japan dan kerjasama penyelidikan dengan Imperial College London dan Nagoya Institute of Technology, Japan,” jelasnya.
Beliau berkata, dunia hari ini berhadapan dengan isu-isu yang membimbangkan seperti peningkatan penggunaan tenaga, kebimbangan keselamatan tenaga, pemanasan global dan hujan asid.
Oleh itu katanya, penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan membangunkan peranti penukaran tenaga yang lebih cekap telah muncul sebagai trend penyelidikan dan pembangunan yang ketara.
“Sel bahan api pepejal teroksida adalah salah satu peranti penukaran tenaga yang menukar tenaga kimia terus ke tenaga elektrik melalui proses elektrokimia.
“Hidrogen adalah bahan api yang paling biasa digunakan, tetapi hidrokarbon seperti gas asli, biogas dan alkohol seperti metanol kadang-kadang digunakan,” katanya.
Menurutnya, tidak seperti bateri, sel bahan api pepejal teroksida memerlukan sumber bahan api dan oksigen yang berterusan untuk menghasilkan tindak balas kimia.
Oleh itu, selagi input dibekalkan, sel bahan api pepejal teroksida itu boleh menghasilkan elektrik secara berterusan.
“Sebagai seorang ahli akademik dan saintis, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk mencari satu kaedah yang yang mempunyai prestasi yang tinggi dalam menjana tenaga elektrik untuk masa hadapan dengan kos yang realistik.
“Teknologi membran telah terbukti menjadi salah satu kaedah yang sangat berkesan untuk menangani isu tenaga hari ini.
“Ini adalah disebabkan oleh penukaran langsung tenaga kimia kepada elektrik menjadikan kecekapan sel bahan api pepejal teroksida ini lebih tinggi berbanding peranti konvensional,” katanya.
Ketua Projek: Mohd Hafiz Dzarfan Othman
Ahli Projek: Siti Munira Jamil, Mukhlis A. Rahman, Juhana Jaafar, Ahmad Fauzi Bin Ismail,Ahmad Faiq Omar, Mohamad Sukri Mohamad Yusof, Mazlinda Ab Rahman, Mohd. Sohaimi Abdullah, Ng Be Cheer