November 19, 2024

Search
Close this search box.

Muhammad Athir Adib Gondol Anugerah Naib Canselor

JOHOR BAHRU, 23 November 2017 – Pelajar tahun empat Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian dan Keselamatan Komputer), Muhammad Athir Adib Zulfakor menerima Anugerah Naib Canselor iaitu pengiktirafan tertinggi dalam Majlis Anugerah Gemilang Mahasiswa (GEMA 2017).

Pemenang bergambar bersama Naib Canselor UTM selepas majlis. Athir Adib (berdiri tujuh dari kanan) bersama replica cek Anugerah Naib Canselor

Beliau membawa pulang wang tunai bernilai RM1000, trofi dan hadiah iringan dalam majlis gilang gemilang yang berlangsung di Dewan, Perpustakaan Raja Zarith Sofiah, UTM Johor Bahru malam tadi.

Athir turut menggondol Anugerah Timbalan Naib Canselor HEP (Tokoh Pemimpin Siswa) yang juga menawarkan hadiah wang tunai RM 700.

Beliau adalah Ketua Pengarah Kembara Amal Anak Merdeka (PATRIOT’16) yang dianjurkan oleh Majlis Pewakilan Mahasiswa, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur pada 14 hingga 18 September 2016 selain mengetuai Misi Jalur Gemilang Terpanjang di Malaysia yang mencatat rekod dalam Malaysia Books of Record.

Manakala Anugerah Timbalan Naib Canselor HEP  (Tokoh Sukarelawan Siswi) dimenangi oleh Wan Nur Izzaty binti Ahmad Kamal.

Anugerah Gemilang Mahasiswa itu adalah kali keempat dianjurkan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTM bagi mengiktiraf kejayaan individu dan badan pelajar dalam pengurusan organisasi dan pelaksanaan aktiviti pelajar samada di peringkat Universiti, kebangsaan mahupun antarabangsa.

Sebanyak 18 anugerah dipertandingkan kepada semua mahasiswa sepenuh masa di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda dan penilaian anugerah mengambil kira  2 program terbaik yang dianjurkan sepanjang September 2016 hingga Ogos 2017.

Selain itu, empat atlet kebangsaan iaitu Muhammad Faizul M. Nasir (Pencak Silat), Nurfariha Abdul Razak (Bola Jaring), Wong Mei Fong (Bola Jaring), Nik Norlydiawati Nik Azman (Judo) menerima insentif kecemerlangan atas sumbangan mereka  mengharumkan nama UTM serta negara di dalam arena sukan.

Pow Mei Foong yang dinobatkan sebagai Olahragawati Negeri Johor baru-baru ini mengucapkan terima kasih kepada universiti dan menyifatkan penganjuran majlis seperti itu membuatkan semua pelajar rasa dihargai dan mendorong untuk pencapaian lebih gemilang.

Anugerah lain yang turut dipertandingkan ialah Anugerah Pemimpin Kolej Kediaman Terbaik, Anugerah Pemimpin Fakulti/Persatuan/Kelab, Anugerah Pemimpin Program Keusahawanan, Anugerah Pemimpin Program Kebudayaan, Anugerah Pemimpin Program Sains, Teknologi dan Inovasi, Anugerah Pemimpin Program Sukan, Anugerah Pemimpin Program Wacana Intelek, Anugerah JKM Terbaik, Anugerah Kelab/Persatuan Terbaik, Anugerah Synergy, Anugerah Aktiviti Terbaik, Anugerah Pemimpin Sukarelawan (Kesejahteraan Komuniti), Anugerah Pemimpin Sukarelawan (Alam Sekitar), Anugerah Pemimpin Sukarelawan (Terbuka) dan Anugerah Pasukan Sukarelawan Terbaik.

Naib Canselor UTM,  Prof Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dalam ucapannya menyifatkan pelajar adalah bisnes utama universiti ini yang sentiasa menjadi keutamaan dalam apa sahaja perancangan serta inisiatif baru UTM.

“Semua mahasiswa mahasiswi adalah bakal-bakal pemimpin masa hadapan dan   Persatuan dan Kelab yang ada di UTM ini merupakan ‘platform’ yang terbaik untuk mereka mengasah bakat kepimpinan dalam diri masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor HEP UTM yang baru, Prof. Dr. Durrishah Idrus pula menyeru semua pelajar terus bersatu padu dalam melaksanakan program-program yang berimpak tinggi dan dalam masa yang sama UTM berjanji akan sentiasa mengiktiraf dan menjaga kebajikan para pelajar.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Pengarah Pembangunan Mahasiswa, Prof. Madya Ahmad Khalid dan Timbalan Pendaftar Kanan HEP, Hj. Dahari Derani.

 

 

 

 

 

Explore More