November 22, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 12 November 2017 – Jelajah Sains (JS) 2017 adalah siri program pembelajaran servis (service learning) anjuran Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ), Centre of Engineering Education (CEE) UTM dan Yayasan Penyayang Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT).

Salah satu aktiviti JS 3.0, Let’s Learn Solar Energy yang melibatkan demonstrasi dan praktikal menggunakan kit yang dibantu fasilitator dari kalangan alumni UTM.

Sebanyak tiga siri program JS 2017 telah diadakan membabitkan kira-kira 700 pelajar tingkatan satu dari tujuh buah sekolah di Johor, 21 orang guru, 200 mahasiswa, 20 ahli akademik, dan sembilan staf bukan akademik UTM.

JS 1.0 berlangsung pada 8 hingga11 Mei di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Universiti 2, SMK Damai Jaya, SMK Impian Emas, SMK Skudai, SMK Taman Tun Aminah, SMK Dato’ Abdul Rahman Yassin, dan SMK Selesa Jaya 2 mendapat kerjasama dari Pusat Ko-kurikulum dan Pembelajaran Servis (CCSL), UTM.

Pengenalan kepada dron sebelum peserta menonton sendiri perlumbaan dron.

Manakala JS 2.0 yang merupakan sub-program bagi STEM Day yang dilaksanakan sempena ‘Iskandar Learning Festival 2017’ pada 20 Julai di UniKL MITEC, Masai.

Sementara STEM Day adalah anjuran bersama Fakulti Sains UTM, JPNJ, Yayasan Penyayang MPJBT, Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), UniKL MITEC, dan Kolej Tuanku Canselor, UTM.

Peserta menyelesaikan tugasan di stesen Eureka Explorace, satu pertandingan explorace bertemakan STEM semasa JS 3.0.

Sebagai penutup, JS 3.0 diadakan pada 1 Oktober lepas di Fakulti Sains UTM merangkumi bengkel dan pertandingan, mendapat kerjasama dan sumbangan dari Pejabat Menteri Besar Johor, Pusat Ekuin UTM, UTMAlumni, UTM PV Edukit dan Drone Racing Southern Club.

Semasa JS 3.0 juga diadakan majlis penyampaian penghargaan dan anugerah kepada sekolah yang menunjukkan prestasi terbaik sejak dari siri pertama, antaranya antaranya Sudut Sains dan Dunia Sains Terbaik.

Sementara itu, Pengarah Program JS 3.0. Amirul Hazimi Abu Bakar berkata, siri program itu bertujuan menyemarakkan minat dan budaya penerokaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan peserta melalui pelbagai bentuk aktiviti interaktif secara berkala.

Aktiviti-aktiviti sepanjang JS 3.0 khususnya dirancang oleh mahasiswa UTM sendiri dengan bimbingan penasihat JS 3.0, Dr Nabilah Kasim dan guru-guru dari sekolah yang terlibat dan pihak JPNJ serta CEE, selari dengan perjuangan National STEM Movement.

“Selain memperkenalkan STEM kepada peserta, mahasiswa yang terlibat dalam pembelajaran servis ini dapat berkongsi ilmu mengenai sains dan matematik.

“Di samping itu, mereka dapat berkongsi aplikasi pengetahuan STEM dan kerjaya dalam bidang berkenaan dengan pelajar sekolah, dapat berlatih dan mempertingkatkan kemahiran kepimpinan dan komunikasi serta mempraktikkan kemahiran Sains termasuk pengaturcaraan komputer,” katanya yang juga pelajar tahun tiga Program Ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik Industri).

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis perasmian penutup yang turut dihadiri oleh Pengerusi Yayasan Penyayang MPJBT, Haji Mohamad Khairi A. Malik, Timbalan Dekan Fakulti Sains (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Wan Azelee Wan Abu Bakar dan Penolong Pengarah Sains, Sektor Pengurusan Akademik, JPNJ, Aerma Nurazalina Musa.

Berdasarkan kepada bilangan calon yang menduduki peperinsaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini, hanya terdapat 90,000 pelajar aliran sains berbanding 270,000 yang diperlukan setiap tahun.

Angka itu menunjukkan Malaysia berdepan masalah kekurangan pelajar aliran sains yang serius, sekaligus boleh menjejaskan usaha Malaysia dalam mencapai status negara maju.

Maka, misi JS adalah selari dengan keperluan negara hari ini, yang bukan sahaja untuk mempromosikan STEM malah mengkaji impak program berkenaan kepada pelajar agar dapat mencadang penambahbaikan dalam pendidikan STEM.

Kajian yang lebih menyeluruh ini sangat diperlukan kerana sejak dasar nisbah 60:40 bagi pelajar bidang Sains dan bukan Sains diperkenalkan pada tahun 1967, nisbah itu masih belum tercapai walaupun banyak pihak telah mengambil inisiatif menganjurkan pelbagai program STEM.

Jelajah Sains 2017 telah memberi kesan yang positif terhadap banyak pihak, terutama pelajar sekolah diperkenalkan STEM dengan lebih meluas dan wujud Sudut Sains yang interaktif di sekolah.

Malah, mahasiswa yang terlibat sebagai tenaga penggerak, fasilitator dan mentor pula dapat menguji pengetahuan dan kemahiran STEM mereka dan hasil kajian tentang persepsi serta kecenderungan peserta terhadap bidang STEM boleh menjadi sumber penambahbaikan pengajaran dan pembelajaran subjek berkenaan di sekolah mahupun universiti.

JS 2017 membuktikan kerjasama pelbagai pihak dan berbeza bidang adalah amat penting untuk menggerakkan pendidikan STEM ke satu mercu tanda yang lebih tinggi.

Tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Penglibatan dan sumbangan semua adalah benih kepada pertumbuhan modal insan STEM negara, menuju status negara maju.

 

Oleh: Dr Nor Ain Husein dan Prof. MadyaDr Fatin Aliah Phang

 

 

 

Explore More