JOHOR BAHRU, 30 Ogos 2017 – Satu program khidmat masyarakat bersama pelajar kurang upaya dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indahpura telah diadakan di Universiti Teknologi Malaysia. Program anjuran Kolej Datin Seri Endon dan juga Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Indahpura ini melibatkan 181 orang murid istimewa dan 81 orang guru pengiring. Program ini turut dibantu oleh 60 orang sukarelawan UTM yang terdiri daripada pelajar UTM, staf Pusat Pengurusan Penyelidilan (RMC) dan juga bahagian keselamatan dari Pejabat Pendaftar. Penganjuran program kemasyarakatan ini bukan sahaja mendekatkan warga UTM dengan masyarakat luar malah berjaya memberi kesedaran kepada warga UTM tentang tanggung jawab sosial kepada masyarakat.

Terdapat tiga kawasan yang menarik di UTM telah dipilih menjadi stesen-stesen aktiviti untuk program ini iaitu tasik ilmu, pusat equin dan juga taman rusa. Pelbagai aktiviti yang menarik telah disediakan untuk murid-murid istimewa ini pada setiap stesen yang mana. Kesemua aktivti yang dilakukan adalah berdasarkan kepada persekitaran stesen aktiviti tersebut. Antara aktiviti-aktiviti yang diadakan adalah seperti puzzle, memancing ikan buatan, kolaj, cari perkataan tersembunyi, kuiz dan sebagainya.
Di pusat equin, murid-murid telah diberi penerangan tentang kuda dan pada masa yang sama berpeluang mendekati, menyentuh dan memberi makan kuda . Menurut guru penolong kanan bahagian aktiviti SMPKV Indahpura, Puan Rabtah Ibrahim, program sebegini adalah amat baik dan boleh menjadi terapi serta merangsang daya pemikiran murid-murid istimewa ini.


Bagi memastikan kelancaran pergerakan dan keselamatan murid-murid istimewa ini, sukarelawan dari bahagian keselamatan UTM telah membantu mengawal lalulintas dan memantau pergerakan murid. Sememangnya, aspek keselamatan telah diberi penekanan utama sepanjang program ini berlangsung agar tidak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Majlis penutup untuk program ini telah disempurnakan oleh Pengetua KDSE, Dr Liza Md Salleh bersama Pengetua SMPKV Indahpura, Tn Hj. Fahrurrazi b Ramdhan. Program ini telah mendapat kerjasama yang baik dari pihak pejabat pengarah kerja yang mana telah meluluskan penggunaan 5 buah bas bagi pengangkutan pergi balik pelajar dari sekolah ke UTM. Manakala pihak eko-pelancongan UTM juga telah memberikan kebenaran menggunakan kawasan disekitar tasik ilmu dan taman rusa sepanjang program. Selain faktor cuaca yang mengizinkan sepanjang program, kerjasama semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung telah menjadikan program ini berjaya dijalankan dengan lancar tanpa sebarang masalah.