November 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 26 September 2017 – Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar merasmikan Galerium UTM bagi menempatkan pelbagai artifak yang pernah digunakan oleh universiti ini di Perpustakaan UTM Johor Bahru sempena dengan penganjuran Karnival Perpustakaan UTM.

Prof. Wahid melihat kamera antik yang pernah digunakan di UTM Kuala Lumpur pada tahun 1960an.

Pengarah Program, Zaleha Atan berkata Galerium itu mempamerkan bahan dan catatan sejarah penting bermula awal penubuhan UTM serta sering menjadi tumpuan pelawat yang mengunjungi bangunan perpustakaan.

“Lakaran sejarah penubuhan galerium ini bermula pada tahun 1994 apabila pihak universiti mencetuskan idea untuk menubuhkan sebuah muzium teknologi di dalam kampus.

“Bermula dengan nama Muzium Teknologi, ia kemudiannya ditukar kepada Galerium hasil ilham Naib Canselor yang ketiga Tan Sri Datuk Dr Ahmd Zaharuddin Idrus,” katanya.

Prof. Wahid melihat buku rekod gred mahasiswa yang pernah digunakan oleh Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL) pada tahun 1950an.

Beliau berkata, Galerium UTM bukan sahaja menjadi pusat rujukan dalam menyelami arus perubahan UTM bahkan turut memberi inspirasi kepada seluruh warga universiti khasnya dan komuniti luar amnya.

Antara bahan pameran yang dipamerkan di Galerium UTM ini adalah jubah yang dipakai oleh para pegawai kanan universiti, buku rekod gred mahasiswa di Maktab Teknik Kuala Lumpur (MTKL) dan juga Institut Teknologi Kebangsaan (ITK).

Turut dipamerkan adalah alatan bantuan mengajar yang pernah digunakan UTM pada tahun 1960an hingga 1980an.

“Hanya apabila kita memahami dari mana kita bermula akan memandu jiwa dan akal kita untuk memahami ke mana destinasi kita, seterusnya mencorakkan satu dimensi kehidupan yang bukan sahaja manisnya dikecapi sebaliknya disebarkan untuk dinikmati oleh seluruh manusia,” katanya.

Karnival tiga hari yang akan berakhir pada 28 September 2017 itu menyajikan pelbagai program menarik yang bersifat ilmiah seperti Courtesy Talk, Bicara Merdeka dan K-Sharing di samping program-program lain seperti senamrobik, program saringan kesihatan dan derma darah.

Turut menghadiri majlis adalah Ketua Pustakawan, Dr.Kamariah Nor Mohd Desa, Pengarah Hal Ehwal Korporat UTM, Prof. Dr. Masputeriah Hamzah dan juga Kurator Muzium Diraja Abu Bakar Istana Besar Johor, Mohd. Azlan Hafiz Mohti.

 

 

 

 

Explore More