JOHOR BAHRU, 7 September 2017 – Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang melancarkan aplikasi GuideMe@UTM dan juga Skim Latihan Peningkatan Diri ‘Job on Campus’ (JOC) di Majlis Amanat dan Ikrar Mahasiswa Baru sempena Minggu Mesra Mahasiswa.
Penyelaras Program Minggu Mesra Mahasiswa, Masnawi Miskam berkata video GuideMe@UTM diperkenalkan oleh UTM untuk membantu mahasiswa baru dalam mendapatkan maklumat mengenai proses pendaftaran, perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan di kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur.
“Aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Google Play Store selaras dengan gaya semasa untuk memudahkan pelajar mendapat maklumat dengan lebih cepat dan lancar di hujung jari.
“Ini adalah satu pencapaian penting buat UTM untuk menjadi salah sebuah universiti teknologi yang terulung di Malaysia dan di peringkat global,” katanya.
Sementara itu Pengarah Pusat Kerjaya UTM (UTMCC), Prof. Madya Dr. Othman Ibrahim berkata, JOC adalah skim latihan peningkatan diri yang dilaksanakan melalui penawaran pekerjaan pelbagai bidang secara separuh masa kepada mahasiswa di Pusat-Pusat Tanggungjawap (PTJ) dalam UTM.
“Skim ini dilaksanakan bertujuan memberi nilai tambah, peningkatan kemahiran dan pembentukan personaliti dalam memperkasa kebolehpasaran graduan UTM.
“Oleh itu, semua aktiviti yang melibatkan pembayaran upah atau elaun kepada mahasiswa yang terlibat melaksanakan aktiviti berkenaan diketagorikan sebagai JOC,” katanya.
Skim JOC terbahagi kepada dua kategori bidang tugas iaitu Skim Latihan Pelajar Penyelidikan dan Skim Latihan Pelajar Bukan Penyelidikan.
Skim Latihan Pelajar Penyelidikan menawarkan pekerjaan yang berkaitan dengan penyelidikan, inovasi, pengkomersilan dan perundingan manakala Skim Bukan penyelidikan pula menawarkan pekerjaan dalam bidang pentadbiran, teknikal, keusahawanan, sosial dan pendidikan.
“Masa bekerja di bawah skim JOC adalah 15 jam seminggu terhad kepada 200 jam untuk satu semester semasa semester berlangsung atau 40 jam seminggu terhad kepada 400 jam satu semester semasa cuti semester,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini seramai 610 orang mahasiswa telah ditawarkan skim JOC dengan penyertaan seramai 293 mahasiswa pasca siswazah dan 316 pra-siswazah.
Pada tahun 2016 seramai 3,007 orang mahasiswa ditawarkan skim berkenaan.
UTMCC adalah pejabat bertanggungjawap menyelaras perlaksanaan skim JOC. Mahasiswa yang berminat boleh terus berhubung dengan pejabat ini untuk maklumat lanjut berkenaan dengan skim ini.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengatarabangsaan), Prof. Dr. Zainuddin Abd. Manan dan Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni (HEMA), Hj. Dahari Derani.