November 23, 2024

Search
Close this search box.

SPS anjur pertandingan 3MT bahasa Melayu

JOHOR BAHRU, 14 OGOS 2017 – Sejarah Pertandingan 3MT tercipta lagi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) apabila Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) berjaya menganjurkannya dalam bahasa selain bahasa Inggeris bertempat di Dewan UTMLead.

Seramai 58 peserta memperlihatkan kebolehan membentang penyelidikan mereka dalam bahasa Melayu.

Tentunya ini menjadi cabaran kepada pelajar  penyelidikan, yang rata-ratanya menjalankan penyelidikan dan menulis dalam bahasa Inggeris.

Penyertaan pelajar penyelidikan peringkat sarjana dan doktor falsafah dari 17 fakulti ini membuktikan kesungguhan, keinginan dan kesanggupan mereka dalam menyahut cabaran tiga minit ini.

Pertandingan 3MT merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Sekolah Pengajian Siswazah, Universiti Teknologi Malaysia sejak 2014.

Pengarah 3MT UTM, Prof Madya Dr Aminah Md Yusof melahirkan rasa syukur kerana pertandingan mendapat sokongan padu kesemua Fakulti dalam memastikan penyertaan pelajar mereka dalam pertandingan tersebut.

Beliau menegaskan keupayaan peserta membentang dalam bahasa ibunda mereka memang tidak dapat dinafikan namun terdapat banyak ruang untuk penambahbaikkan seperti penggunaan kosa kata aras tinggi dan bahasa tubuh yang lebih berkesan.

Kehadiran juri iaitu Nur Afzani Tual dari Distinguished Toastmaster (Bahasa Melayu), Ketua Unit Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Siti Hajar Ilah dan  Timbalan Pendaftar dari Pejabat HEK UTM Norizan Salleh, telah membantu penjurian pertandingan.

Pelajar sarjana Fakulti Sains, Mohd Rashid Admon telah berjaya menawan hati juri dan penonton dengan kajian Sel Barah: Kawan atau Lawan.

Beliau telah dinobatkan sebagai Johan 3MT (Bahasa Melayu) dan memenangi wang tunai RM1,000, sijil dan hadiah misteri.

Pelajar ijazah kedoktoran Fakulti Kejuruteraan Geoinformasi dan Harta Tanah (FGHT), Norhaslina Chamati@Jumadi menduduki tempat kedua berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM 750.00 berserta sijil penyertaan.

Keupayaan peserta bukan Melayu Saudara Gopal a/l R.Mahalingam dari Fakulti Pendidikan membentangkan kajian beliau dengan fasih dan menarik telah membolehkan beliau merebut tempat ketiga dan meraih hadiah wang tunai berjumlah RM 500.00 berserta sijil penyertaan.

Selain daripada itu, tujuh perserta mendapat hadiah saguhati. Mereka adalah Farah Syuhaida Ismail (Fakulti Pendidikan), Siti Khadijah Hubadillah (Sekolah Pengajian Siswazah), Herman Tuminoh (Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan), Rasvini a/p Rajendran (Fakulti Sains), Fatin Syahirah Othman (Institut Teknologi antara Malaysia-Jepun, MJIIT), Nur Syafiqah A.Rahim (Fakulti Pengurusan) dan Noor Hidayah Che Lah (Fakulti Pendidikan). Syabas dan tahniah kepad semua!

Jawatankuasa pertandingan bersyukur pertandingan berjalan lancar dan berharap ia bukanlah pertandingan yang pertama dan terakhir dalam siri pertandingan 3MT Bahasa Melayu di UTM.

Semoga pertandingan ini  akan diteruskan dan berkembang keperingkat kebangsaan.

 

Explore More