KUALA LUMPUR, 22 Julai 2017 – Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) buat julung kalinya telah menganjurkan Majlis Makan Malam Alumni FKM 2017 untuk menghimpunkan Alumni FKM seterusnya menjadi platform untuk meningkatkan Dana Endowmen FKM.
Program tersebut telah diadakan di UTM Residences Kuala Lumpur dan dihadiri oleh lebih seramai 400 orang Alumni FKM UTM.
Beberapa tokoh korporat yang juga Alumni FKM turut menghadiri program berkenaan, antaranya Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas Serba Dinamik Berhad, Dato’ Dr. Mohd Abdul Karim Abdullah, Pengarah Urusan Velosi Sdn. Bhd., Dato’ Sri Engr. Mohd Jai Subuh, Pengarah Eksekutif dan pengasas Solar Alert Sdn. Bhd., Dato’ Hj. Ismail Salleh, Pengarah Urusan Solar Alert Sdn. Bhd., Dato’ Zubaidi Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif MasWing Sdn Bhd, Aminuddin Zakaria.
Majlis diserikan dengan kehadiran Presiden, Persatuan Alumni UTM, Prof. Tan Sri Dato’ (Dr) Ir. Jamilus Hussein.
Alumni FKM yang telah dikenalpasti menempa kejayaan dalam bidang yang diceburi masing-masing telah dirai dengan penganugerahan Tokoh Alumni FKM UTM.
Program itu turut mengeratkan lagi hubungan sesama Alumni FKM UTM sekaligus mampu meningkatkan rangkaian kerjasama antara mereka.
Melalui majlis itu sebanyak RM 80,000.00 dana telah berjaya dikumpulkan dan sebahagiannya akan disumbangkan kepada Dana Endowmen FKM.
Sumbangan itu menunjukkan masih ramai Alumni yang ingin menabur bakti kepada fakulti tidak kira dalam bentuk wang ringgit, perkongsian pengalaman dan ilmu pengetahuan mahupun tenaga demi memastikan kelestarian FKM dan UTM dan seterusnya melahirkan graduan yang holistik untuk menjadi penggerak dan pemacu kepada ekonomi negara.