JOHOR BAHRU, 10 Julai 2017 – Seramai empat atlet mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah terpilih bagi mewakili Malaysia ke temasya Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) 2017 yang bakal di Kuala Lumpur bermula 19 hingga 30 Ogos 2017.
Pegawai Belia dan Sukan dari UTM Sports Excellence Centre, Rahmah Yushak berkata atlet berkenaan adalah Muhammad Faizul M. Nasir (Pencak Silat), Pow Mei Foong (Bola Jaring), Nurfariha Abdul Razak (Bola Jaring) dan Nik Norlydiawati Nik Azman (Judo).
Rahmah berkata keempat-empat atlet itu telah mencipta rekod masing-masing pada pelbagai temasya sukan yang diadakan di peringkat tempatan ataupun antarabangsa.
“Pada Sukan SEA 2015 yang berlangsung di Singapura dua tahun lalu, atlet kita tidak kurang hebatnya dalam pencapaian masing-masing.
“Hasil dari usaha keras mereka, Malaysia berjaya memperolehi pingat emas dalam acara Pencak Silat, pingat perak dalam Bola Jaring dan melepasi kelayakan penyertaan bagi acara Judo,” katanya.
Rahmah berkata penyertaan atlet UTM bagi mewakili negara ke temasya sukan antarabangsa seperti ini telah membuktikan bahawa di sebalik status sebagai pelajar universiti, individu ini masih mampu menyumbangkan sesuatu kepada Malaysia.
“Di samping menyumbang kepada negara, kita juga telah buktikan bahawa mahasiswa UTM bukan sahaja hebat dalam aspek akademik tetapi juga berpotensi untuk diketengahkan dalam bidang sukan,” katanya.