November 24, 2024

Search
Close this search box.

Pelajar sarjana MaGIC-X dipilih sertai Bakat Muda Sezaman 2016

 

JOHOR BAHRU, 16 April 2017 – Pelajar sarjana di bawah seliaan Media and Game Innovation Centre of Excellence (MaGIC-X), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Muhammad Colmann  Abdullah, 34 telah terpilih bagi menyertai pameran Bakat Muda Sezaman 2016 (BMS’ 16) anjuran Balai Seni Visual Negara (BSVN).

Pemenang Bakat Muda Sezaman 2016.
Antara karya yang dipamerkan.

Komik interaktif yang digarap dalam hasil beliau menggunakan teknologi sensor yang membawa penonton untuk ‘menyelam’ ke dalam plot komik dalam format tiga dimensi bagi merasai sendiri pengembaraan dalam cerita tersebut.

Karya beliau berjudul “Bukan Lawan Kita” mengetengahkan kronologi yang dipetik daripada kisah golongan Yakjuj dan Makjuj yang pernah disebut dalam al-Quran dalam surah al-Kahfi.

Plot tersebut menceritakan babak kemunculan golongan berkenaan yang membawa kepada kebinasaan dalam kalangan bangsa manusia akhir zaman.  Di akhir babak komik, golongan bangsa pemusnah itu akhirnya tewas dan burung-burung berterbangan membawa bangkai golongan itu untuk dicampak ke lautan.

Bagi artis itu sendiri, penghasilan karya tersebut adalah sebagai satu ‘self-reminder’ untuk beliau sentiasa mempersiapkan diri sendiri dengan ilmu dan akidah yang ampuh bagi menghadapi satu golongan yang telah disebut dalam kitab al-Quran akan keluar dan berbuat kebinasaan di muka bumi satu hari nanti.

Beliau menggunakan platform pameran BMS’ 16 itu supaya peringatan tersebut dapat dikongsi bersama masyarakat umum.

Berlainan dengan konsep bacaan komik secara konvensional, setiap babak plot boleh dilihat dari pelbagai sudut dan kedalaman (depth). Integrasi teknologi sensor dengan menggunakan Leap Motion dalam komik ini memerlukan gerakan tangan audien untuk drag dan zoom agar pelbagai sudut dalam komik ini dapat diteliti sambil mendengar naratif babak tersebut.

Bagi menghasilkan karya itu, proses bermula dengan artis melukis enam babak komik dalam bentuk dua dimensi yang berkonsepkan minimal monotype dengan menggunakan dakwat cina. Seterusnya lukisan kasar babak ini dilukis dengan menggunakan tekstur garisan yang raw bagi memberi impak yang lebih berat kepada jalan penceritaan.

Lukisan tersebut kemudiannya diubah kepada bentuk tiga dimensi disertai dengan kesan animasi ringkas. Di akhir proses tersebut, elemen hand gesture diintegrasikan menggunakan pengaturcaraan khas supaya setiap setiap babak komik tersebut dapat digerakkan mengikut pergerakan tangan audien.

Karya itu antara karya terpilih menerima Anugerah Juri BMS’16 dengan masing-masing menerima wang saguhati sebanyak RM5,000. Karya tersebut sedang dipamerkan di BSVN bermula awal 1 Februari hingga 30 April 2017.

Bagi Muhammad Colmann, beliau berpendapat pertandingan Bakat Muda Sezaman itu merupakan satu platform terbaik untuk artis muda di Malaysia mempamerkan kreativiti diri selain mengekspresikan ideologi atau emosi diri dalam bentuk seni yang dapat dikongsi bersama masyarakat.

 

 

 

 

Layari sesawang Balai Seni Visual Negara untuk maklumat lanjut:

http://www.artgallery.gov.my/?p=4897

Explore More