JOHOR BAHRU, 26 Februari 2016 – Kumpulan Genius Animal dari Sekolah Menengah Islam Hidayah, Skudai, Johor telah memenangi Pingat Emas dalam pertandingan STEM Apps Challenge 2016.
Berada di tempat kedua adalah kumpulan Pengembaraan Tibot dari Sekolah Kebangsaan Taman Molek dan seterusnya di tempat ketiga adalah kumpulan Edu Game dari Sekolah Kebangsaan Desa Skudai.
Selain dari tempat pertama, Sekolah Menengah Islam Hidayah juga berjaya menempatkan diri di tempat keempat melalui kumpulan School Rush dan juga tempat kelima melalui kumpulan Supermarket Rush.
Pengarah Program STEM Apps Challenge 2016, Prof. Madya Dr. Mohd. Shahrizal Sunar berkata pertandingan itu adalah satu pertandingan merekacipta dan membangun aplikasi mudah alih berdasarkan elemen sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).
“Penghasilan aplikasi ini dapat meningkatkan nilai pembelajaran sains dan matematik di kalangan pelajar dengan mengetengahkan proses pembelajaran terkini mengikut trend semasa.
“Selain itu, penghasilan aplikasi ini juga dilihat akan dapat menarik dan meningkatkan minat pelajar sekolah terhadap pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik serta memberikan pendedahan peringkat awal kepada pelajar sekolah menengah mengenai pembangunan aplikasi mudah alih,” katanya.
Lebih 15 kumpulan dari sekolah-sekolah sekitar Johor telah menyertai pertandingan ini. Melalui pertandingan ini, perserta terlibat akan digabungkan melalui dua kategori iaitu Kumpulan Idea Apps dan Kumpulan Pembangun Apps.
“Kumpulan Idea Apps terdiri dari dua orang pelajar sekolah dan seorang guru pembimbing manakala Pembangun Apps adalah dua orang mahasiswa pra-siswazah UTM.
“Pertandingan peringkat akhir telahpun berlangsung di Auditorium Fakulti Biosains dan Kejuruteraan Perubatan (FBME) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Johor Bahru dimana produk-produk yang terpilih ke peringkat akhir telahpun melalui proses penilaian oleh panel juri profesional.
“Antara kriteria penilaian yang digunapakai adalah aspek elemen pengajaran dan pembelajaran, nilai komersil, hasil aplikasi yang dihasilkan dan pembentangan akhir,” katanya.
Aplikasi yang dihasilkan oleh kumpulan Genius Animal adalah permainan untuk mengelaskan haiwan mengikut cara pemakanan iaitu omnivor, karnivor dan herbivor. Pemenang pingat emas ini membawa pulang hadiah bernilai RM15,000.00 termasuk tiket penerbangan ke Kobe, Jepun.
Kesemua pemenang telah menerima hadiah masing-masing dari Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Prof. Dr. Zainuddin Abdul Manan di Bilik Seminar Media and Game Innovation Centre of Excellence (MaGICX), UTM Johor Bahru.