Januari 8, 2025

Dr. Ummul Khair dilantik semula sebagai Pengarah Penerbit

JOHOR BAHRU, 1 Mac 2017 – Prof. Madya Dr. Ummul Khair Ahmad dilantik semula ke jawatan Pengarah Penerbit Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Press bagi menggantikan Prof. Madya Dr. Kassim Thukiman yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Januari 2017.

Dr Ummul Khair Pengarah Penerbit UTM.

Tarikh kuatkuasa perlantikan beliau adalah pada 01 Februari 2017 dengan tempoh lantikan selama tiga tahun.

Dilahirkan di Kuantan, Pahang pada 23 November 1963, Dr. Ummul berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Sains Pendidikan (Bahasa Inggeris) dari Indiana University, Amerika Syarikat pada 1985 seterusnya Ijazah Sarjana (Linguistik) dari universiti sama pada tahun 1987. Beliau kemudiannya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari University of Michigan, Amerika Syarikat pada 1997.

Sebagai ahli akademik, Dr. Ummul juga tidak terkecuali dari ditugaskan untuk berkhidmat sebagai pentadbir akademik dengan beberapa jawatan penting seperti Pengarah Penerbit UTM Press (November 1997 – Oktober 2005) dan Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah) Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (FPPSM) (Jun 2008 – Mei 2010).

Selain pentadbir akademik, Dr. Ummul juga aktif menganggotai beberapa Jawatankuasa berkaitan dengan pembangunan akademik seperti Ahli Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas bagi Portal Pengajian Bahasa Inggeris MyLine (sejak 2014), Ahli Jawatankuasa Lembaga Penasihat bagi program Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu (sejak April 2015) dan Jawatankuasa Panel Buku Universiti bagi Penerbit UTM (sejak April 2015 – Januari 2017).

Dr. Ummul Khair juga turut menganggotai Jawatankuasa Hal Ehwal Akademik, Akademi Bahasa UTM (sejak 2011), Jawatankuasa Penilaian dan Pengukuran Bahasa, Akademi Bahasa (2011- Januari 2017), Jawatankuasa Sukatan dan Rekabentuk Bahan, Akademi Bahasa (sejak 2014) dan juga merupakan Naib Presiden bagi Malaysian Applied Linguistics Association (MAAL) (sejak 2014 – Oktober 2016).

Antara anugerah yang pernah diterima oleh Dr. Ummul adalah Anugerah Jasa Bakti untuk perkhidmatan 20 tahun dengan UTM (2009), Anugerah Khidmat Cemerlang UTM (2002 dan 2007) serta Anugerah Staf Terbaik FPPSM (2006).

Selain anugerah perkhidmatan, Dr. Ummul juga menerima beberapa anugerah atas kecemerlangan yang ditunjukkan dalam bidang penyelidikan. Antaranya adalah Pingat Emas di Innovative Practices in Higher Education Expo (I-PHEX) 2014, Pingat Perak di Invention, Innovation and Design On E-Learning (IIDEL) 2014 dan Pingat Gangsa di International University Carnival on E-Learning (IUCEL) 2016.

 

Explore More