JOHOR BAHRU, 14 Februari 2017 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerima geran penyelidikan bernilai RM100 ribu dari Institut Jantung Negara (IJN) bagi melaksanakan penyelidikan bertajuk “Microfluidics for Continous Transdermal Insulin Delivery’.
Projek yang diketuai oleh Fellow Penyelidik Fakulti Bioperubatan dan Sains Kesihatan (FBME), Profesor Dr Ida Idayu Muhammad berkaitan sistem penyampaian ubat yang lebih baik untuk pesakit insulin itu telah dikenalpasti oleh IJN sebagai berimpak tinggi.
Bagi merealisasikan kerjasama penyelidikan itu, Naib Canselor UTM Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yacub menandatangani memorandum perjanjian (MoA) di FBME, Taman Universiti, dekat sini hari ini.
Di majlis tersebut, Dr Mohd Azhari menyerah beberapa peralatan bernilai RM200 ribu kepada Profesor Wahid untuk digunakan oleh penyelidik di FBME, terutama berkaitan dengan kardiovaskular.
Hadir di majlis berkenaan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dr Ahmad Fauzi Ismail, Pengarah Kanan Institut Kejuruteraan Kemanusian FBME, Profesor Dr Abdul Hafidz Omar, Pengarah Pusat Kejuruteraan Kardiovaskular IJN-UTM, Profesor Dr Eko Supriyanto dan timbalannya UTM Dr Ahmad Zahran Md Khudzairi.
Profesor Wahid berkata, penyelidikan yang dijalankan oleh UTM dan IJN adalah selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang mahukan hasil penyelidikan memberi impak terus kepada masyarakat.
“Geran sebanyak RM100 ribu adalah sumbangan Yayasan Institut Jantung Negara dan menerusi penyelidikan ini membolehkan penyelidik UTM mendapat akses terus kepada data yang diperlukan dari IJN,” katanya.
Manakala Dr Mohd Azhari berkata, terdapat dua peringkat kajian yang akan dilakukan menerusi penyelidikan berkenaan iaitu kajian ke atas haiwan sebelum kajian ke atas manusia dilakukan.
“Kerjasama ini adalah untuk manafaat kedua belah pihak yang menggabungkan kombinasi maklum balas dari segi bahan dari IJN dan tenaga pakar dalam bidang biokejuruteraan dan kejuruteraan mekanikal dari UTM,” katanya.
Sementara itu, Dr Ida Idayu berkata, sebahagian besar pesakit kencing manis mengalami penyakit berkaitan dengan jantung, manakala pengurusan ubat farmakologi ke atas mereka agak rumit dan penyelidikan bersama itu dibuat untuk menangani masalah berkenaan.
“Penyakit kardiovaskular (CVD) adalah punca kematian utama di dunia dan lebih 20 peratus kematian di Malaysia adalah disebabkan oleh penyakit sistem peredaran darah di mana CVD adalah merupakan subsetnya.
“Pengesanan awal adalah salah satu cara terbaik untuk mencegah kesan yang lebih teruk daripada CVD.
“Program Pemeriksaan Eksekutif (ESP) yang dikhaskan untuk kesihatan kardiovaskular adalah salah satu cara terbaik untuk pengesanan awal dan IJN telah menjalankan program berkenaan sejak 1995,” katanya.
Beliau berkata, Pusat Kardiovaskular UTM sedang dalam perancangan untuk bekerjasama dengan IJN bagi menawarkan program ESP di UTM Johor Bahru, terutama untuk penduduk di kawasan sekitar utara Johor Bahru.
Program itu akan dilakukan secara menyeluruh untuk menguji fungsi tubuh seperti jantung, hati, buah pinggang dan paru-paru dan hasil kajian akan diteliti oleh pakar kardiologi dari IJN.
“Menyedari bahawa adalah penting untuk membantu UTM dalam aktiviti pengajaran dan penyelidikan, khususnya dalam bidang kejuruteraan bioperubatan, IJN bersetuju menghadiahkan beberapa peranti perubatan.
“Terdapat sejumlah 44 peranti yang terdiri daripada mesin hemodialisis, sistem monitor pesakit, defibrillator, dan ventilator yang disumbangkan oleh IJN akan digunakan oleh pelajar di FBME,” katanya.