November 6, 2024

Search
Close this search box.

Unit Endowmen rangka strategi tambah dana RM10 juta

JOHOR BAHRU, 13 Februari 2017 – Sebanyak lima strategi dirangka bagi mengumpul RM10 juta untuk mengisi Tabung Endowmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi tahun 2017.

Dr Yusof Boon

Pengarah Unit Endowmen UTM, Prof. Madya Dr. Yusof Boon berkata, strategi mengumpul dana adalah melalui sumbangan institusi kewangan, syarikat korporat, organisasi awam dan pihak berkuasa tempatan, endowmen awam dan antarabangsa.

Menurutnya, bagi mengisi tabung endowmen menerusi organisasi awam dan pihak berkuasa tempatan, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ).

“Perbincangan telah pun dijalankan dengan pihak JPNJ dan dimaklumkan sebanyak 1,086 buah sekolah kebangsaan dan vernakular bernaung di bawah jabatan tersebut di seluruh negeri Johor.

Sumbangan kepada Tabung Endowmen membolehkan mahasiswa UTM mencapai impian menjadi graduan cemerlang.

“Unit Endowmen akan mengadakan perjumpaan dan promosi dengan Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), menyediakan brosur dan melantik sukarelawan bagi mengumpul dana daripada warga pendidik.

“Di samping itu, usaha berkenaan dapat membantu UTM meningkatkan imej, terutama dalam  kalangan mereka yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, selain mempergiatkan penjanaan dana, pihaknya akan memberi perhatian serius untuk memantap Tabungan Endowmen 2017 dengan pengurusan kewangan yang efektif dan perbelanjaan berhemah.

“Bagi memastikan kelestarian tabungan endowmen sentiasa terpelihara, kami akan lebih serius dalam meneliti pelaburan yang dibuat oleh UTM supaya tidak terjebak dalam kegiatan yang tidak menguntungkan.

“Di samping merancakkan kegiatan penjanaan sumber kewangan, kami juga akan mengetatkan pemantauan bagi mengelakkan dana diperolehi melalui aktiviti yang melanggar hukum syarak,” katanya.

 

Explore More