November 28, 2024

Search
Close this search box.

Semua staf UTM yang mengendali bahan radio aktif perlu dapat latihan

JOHOR BAHRU, 13 Februari 2017 – Semua kakitangan dan pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mengendalikan bahan radioaktif perlu mendapat latihan, pendedahan dan persediaan dalam menghadapi situasi kemalangan dan kecemasan yang melibatkan bahan berkenaan.

Profesor Azlan (kanan) dan Hamrah bertukar dokumen perjanjian.

Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Profesor Dr Azlan Abdul Rahman berkata, UTM tidak akan berkompromi  dalam penyediaan latihan serta peruntukan yang melibatkan keselamatan, sekuriti dan kawalselia bahan radioaktif dan nuklear.

Menurutnya, UTM juga akan memastikan tahap keselamatan di kemudahan penstoran punca radioaktif dan lokasi di mana punca bahan itu dikendali berada di tahap yang terkini.

“Sehingga tahun 2017, terdapat 20 pekerja sinaran yang mengendalikan 106 bahan radioaktif punca terkedap dan 21 radas penyinaran yang perlu dipantau penggunaannya di UTM.

“Peningkatan aktiviti penyelidikan dan pembangunan turut menyumbang kepada peningkatan penggunaan bahan yang berasaskan tenaga nuklear di UTM,” katanya semasa berucap di majlis menandatangani memorandum perjanjian dengan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA), di Dewan Senat, UTM, hari ini.

MoU itu ditandatangan oleh Profesor Azlan yang mewakili UTM dan Ketua Pengarah LPTA, Hamrah Mohd Ali.

Hadir dimajlis berkenaan Pengarah, Unit Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, UTM Prof Madya Dr Johan Sohaili, Pengarah, Bahagian Dasar dan Hubungan Luar, LPTA Monalija Kostor, Dekan Fakulti Sains, Profesor Dr Norsarahaida Saidina Amin dan Pegawai Perlindungan Sinaran UTM, Prof Madya Dr Suhairul Hashim.

Profesor Azlan berkata, kerjasama antara UTM dan LPTA bertujuan memberi fokus kepada keselamatan nuklear dan sinaran yang selamat.

“Nuklear banyak memberi manafaat kepada masyarakat dan UTM menjadi Universiti Awam (UA) pertama di negara ini menawarkan ijazah sarjana muda kejuruteraan nuklear pada tahun 2012.

“Sebagai sebuah Universiti Penyelidikan (RU), UTM banyak menggunakan teknologi dan kemudahan makmal yang berkaitan dengan nuklear dan isu keselamatan adalah agenda penting,” katanya.

Sementara itu, Hamrah berkata, LPTA telah lama menjalinkan kerjasama secara tidak formal dengan UTM menerusi pemetaan radiasi untuk seluruh semenanjung Malaysia dan sinaran amang di Perak.

“Menerusi perjanjian ini, diharap lebih banyak kerjasama antara LPTA dan UTM, selain pertukaran kakitangan, latihan dan pertukaran data rujukan dapat dijalankan,” katanya.

Explore More