JOHOR BAHRU, 7 Februari 2017 – Program Sangkutan atau ‘Attachment’ Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk staf Kumpulan Pengurusan dan Profesional mampu memberikan impak yang positif terhadap kemahiran urus tadbir.
Program itu mampu meluaskan pengalaman staf terbabit kerana dapat mempelajari dan menimpa ilmu baru sepanjang penempatan sementara mereka di organisasi pilihan sama ada di dalam atau luar negara.
Peruntukan sebanyak RM100 ribu setahun telah diluluskan oleh pengurusan universiti bagi menjayakan program berkenaan sejak diluluskan pada tahun 2015.
Sejak diperkenalkan pada 2015 seramai 28 orang staf Kumpulan Pengurusan dan Profesional menyertai program berkenaan dengan 11 daripada mereka telah menjalani program sangkutan itu di luar negara dan tujuh lagi memilih destinasi dalam negara.
Antara negara yang telah dipilih oleh peserta bagi menjalani program masing-masing adalah Republik Czech, Indonesia, Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom, Australia dan Jerman.
Timbalan Pendaftar, Seksyen Pembangunan, Bahagian Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar UTM, Hanifah Ahmad berkata program sangkutan itu bertujuan menempatkan staf berkenaan secara sementara di organisasi terpilih bagi mendapatkan pengalaman dan budaya kerja positif.
“Kakitangan yang disangkutkan diharapkan dapat membawa balik pengalaman dan budaya kerja positif untuk dikongsi bersama rakan sejawat di UTM dalam mewujudkan budaya keja cemerlang.
“Di samping itu, staf berkenaan diharap dapat membina hubungan yang baik dengan organisasi tempat mereka menjalani program tersebut bagi meningkatkan jaringan kerjsama di masa akan datang,” katanya.
“Terdapat beberapa aspek penting yang perlu diketahui oleh bakal peserta yang akan mengikuti program ini kerana selaku pihak yang menyelaras, kami telah mengeluarkan polisi bagi memastikan program ini berjalan selaras dengan hasrat universiti.
“Secara amnya, peserta dibenarkan untuk memilih mana-mana organisasi dalam atau luar negara, bagaimanapun sekiranya tempat yang dipilih itu adalah universiti atau institusi pengajian tinggi, maka institusi tersebut mestilah telah menandatangani perjanjian kolaborasi dengan UTM,” katanya.
Beliau berkata, jika organisasi itu bukan institusi pengajian tinggi, maka organisasi yang dipilih hendaklah berdaftar dengan kerajaan Malaysia secara sah.
Bidang program yang dipilih hendaklah mengikut tugas hakiki staf berkenaan. Contohnya, jika staf dalam kategori gred W maka tempat pilihan sangkutannya mestilah berkaitan dengan pengurusan kewangan seperti bank tempatan ataupun Bank Negara Malaysia (BNM).
“Bagi memastikan program ini berjalan dengan lancar serta menepati perancangan yang telah digariskan, kakitangan terlibat akan dibekalkan dengan Laporan Penyelia yang mengandungi ruangan yang bakal diisi oleh penyelianya di organisasi tempat beliau menjalani program.
“Dalam laporan yang sama juga terkandung Log Tugas Harian di mana staf haruslah mencatatkan apa jenis tugas yang dilakukan di organisasi berkenaan sepanjang menjalani program sangkutan di sana,” katanya.
Mengulas mengenai kesan program sangkutan ini, Hanifah berkata berdasarkan kepada laporan penyeliaan yang telah dikemukan, staf terlibat telah mempamerkan prestasi kerja yang amat cemerlang.
Katanya, pada tahun 2015, seorang staf kita telah menjalani latihan di Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di Putrajaya.
“Di sana beliau telah mempelajari mengenai penggunaan teknologi maklumat dalam perkhidmatan awam dan disebabkan oleh disiplin kerja yang ditunjukkan, pihak MAMPU telah memohon secara rasmi untuk melanjutkan tempoh sangkutan staf berkenaan selama tiga bulan lagi,” katanya.
“Walau bagaimanapun UTM tidak dapat meluluskan permohonan berkenaan disebabkan tempoh maksimum program ini hanya tiga bulan. Ini jelas sekali menunjukkan keberkesanan program ini,” katanya.
Sejak diluluskan pada 2015, program ini hanya dibuka kepada staf Kumpulan Pengurusan dan Profesional gred 41 ke atas. Namun pada 2016, universiti telah beri kelulusan untuk ianya diperluaskan kepada staf Kumpulan Perkhidmatan Sokongan gred 29.
“Bergantung kepada sambutan, jika permohonan yang diterima menggalakkan, kami akan menimbangkan untuk meluaskan lagi program ini kepada Kumpulan Perkhidmatan Sokongan yang lain,” katanya.