JOHOR BAHRU, 26 Januari 2017 – Taman Rusa kini menjadi lokasi tumpuan utama pengunjung ke kampus Universiti Teknologi Malaysia (UTM), selain menjadi tempat warga kampus bersantai bersama keluarga, terutama selepas waktu bekerja dan pada hujung minggu.
Taman seluas tiga ekar yang terletak berhampiran pintu masuk utama dari arah Taman Universiti mempunyai 20 ekor rusa bintik diwujudkan sebagai sumber tarikan baharu di UTM. Selain itu, Taman Rusa berkenaan digunakaan untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran bagi kursus Kemahiran Hidup.
Penolong Pengurus Ladang Kanan, Mohamad Md. Sum berkata idea untuk menternak rusa ini tercetus pada tahun 2003 dan sebanyak RM 20,300.00 telah diperuntukkan sebagai modal untuk membeli haiwan berkenaan.
“Kami membeli sembilan ekor rusa betina dan seekor rusa jantan dari Jabatan Haiwan Negeri Sembilan untuk diternak dan hasil pembiakan jumlah terbanyak yang pernah dicatatkan ialah 34 ekor.
“Makanan utamanya ialah daun pokok kayu tetapi bagi mendapatkan kualiti ternakan yang sihat dan menarik tumpuan, kami memberi makan rumput napier, hampas kelapa dan dedak gandum,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau berkata, haiwan itu masih mengekalkan sifat habitat asalnya iaitu hidup liar dan menjauhi manusia, selain aktif sepanjang hari.
Pada musim panas, masa dihabiskan dengan berehat sepanjang hari dan sebarang aktiviti hanya dilakukan pada waktu hampir senja apabila cuaca mula menyejuk.
Mohamad berkata, rusa bintik menjadi pilihan utama berbanding dengan jenis Samba (Rusa Malaysia), kerana rusa bintik tahan cuaca dan mudah membiak serta tahan dari jangkitan penyakit.
Rusa jenis itu tidak memilih makanan dan beratnya mampu mencecah sehingga 35 kg seekor. Bagaimanapun, oleh kerana diternak untuk tujuan ekopelancongan, saiznya lebih kecil serta cantik untuk dipandang.
Peratus kelahirannya juga agak tinggi iaitu melebihi 60 peratus setahun dengan tempoh bunting yang singkat antara enam hingga tujuh bulan. Musim mengawan rusa bintik ialah dua kali setahun iaitu pada bulan Februari dan Mac serta Ogos dan September.
“Pelawat tidak dibenar memberikan makanan kerana dikhuatiri boleh menyebabkan keracunan kepada rusa berkenaan,” katanya.