JELEBU, 22 Januari 2017 – Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor menyokong penganjuran program kerjasama stratetik antara institusi akademik dan komuniti luar bandar kerana dapat menyemarakkan budaya kesukarelawan dalam kalangan warga kampus.
Menurutnya, menerusi program seperti itu, warga kampus dapat bersama-sama turun ke kawasan luar bandar bagi membantu proses pembangunan kawasan berkenaan melalui pemindahan ilmu dan teknologi.
“Dalam kita menuju ke arah negara maju, pembangunan luar bandar merupakan satu agenda yang sama penting untuk diperkasakan.
“Kita seharusnya berbangga kerana kerajaan mempunyai visi dan misi untuk mentranformasikan kawasan luar bandar sebagai sebuah tempat yang cukup dengan kemudahan awam dan infrastruktur berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis penutup Program Libat Sama Komuniti (UTM@NICE’17) anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dewan D’Sury, Kuala Klawang, dekat sini, hari ini.
Majlis itu dihadiri oleh isteri Menteri Besar Negeri Sembilan Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Haji Jalaludin Haji Alias, Naib Canselor UTM Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar, Timbalan Naib Canselor Hal
Ehwal Mahasiswa dan Alumni (HEMA), Profesor Datuk Dr Mohd Ismail Abdul Aziz dan Pengarah Kampus UTM Kuala Lumpur, Profesor Dr Durrishah Idrus.
Datin Seri Rosmah berkata, pembangunan fizikal seharusnya seimbang dengan pembangunan modal insan dan memuji Program Libat Sama Komuniti oleh UTM.
“Saya tertarik dengan keunikan konsep program khidmat masyarakat bersama komuniti Jelebu yang tidak bersifat ‘one-off’, namun akan berlangsung selama setahun bermula Februari 2017 hingga Februari 2018.
“Sekalung tahniah saya ucapkan kepada Profesor Dr Durrishah Irdus selaku Pengarah Kampus UTM Kuala Lumpur yang juga merupakan anak jati Jelebu, kerana telah mengilhamkan program komuniti ini,” katanya.
Sementara itu, Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, program itu terbahagi kepada dua fasa.
“Fasa pertama bermula dari 18 Januari hingga 22 Januari 2017, manakala fasa kedua adalah sepanjang tahun.
“Tujuh program berumpak tinggi diadakan bagi mempercepatkan proses tranformasi luar bandar,” katanya.