November 24, 2024

Search
Close this search box.

Kekal kelangsungan UTM agenda utama 2017

JOHOR BAHRU, 16 Januari 2016 – Naib Canselor Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar berkata, mengekalkan kelangsungan Universiti Teknolologi Malaysia (UTM) sebagai sebuah universiti adalah agenda utama sepanjang tahun 2017.

Profesor Datuk Dr Wahid menjunjukkan buku berutusan tahun baru “Menjayakan Kelangsungan Sebuah Universiti”.
Profesor Datuk Dr Wahid melancarkan jenama UTM  “I am UTM”.
Pendaftar UTM Wan Mohd Zawawi Wan Abdul Rahman mengetuai bacaan ikrar.
Profesor Datuk Dr Wahid menerima sumbangan RM1,000 untuk Tabung Endowmen UTM daripada wakil Persatuan Pemandu Teksi UTM.

Beliau berkata, agenda itu bertepatan dengan keadaan semasa di mana bajet untuk Universiti Awam (UA) yang bertaraf Universiti Penyelidikan (RU) telah mengalami pemotongan seperti mana diumumkan dalam Bajet 2017.

“Bagi menjayakan agenda kelangsungannya UTM harus bergerak ke hadapan dan mengekalkan kecemerlangan yang telah dicapai walaupun terpaksa berhadapan dengan faktor kekurangan dana.

“Kita tidak boleh terus menerus mengatakan kita tidak boleh cemerlang sebab kurangnya peruntukan dan UTM harus terus bergerak dan sebagai alternatif, kita akan terus menjana pendapatan sendiri melalui aset-aset yang kita miliki,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan dalam Majlis Perutusan Tahun Baru 2017 bertajuk “Menjayakan Kelangsungan Sebuah Universiti” di Dewan Senat, pagi tadi.

Perutusan tahun baru itu disiar secara langsung menerusi sidang video ke UTM Kuala Lumpur.

Di majlis berkenaan Naib Canselor melancarkan jenama UTM “I am UTM”, menerima sumbangan untuk Tabung Endowmen UTM berjumlah RM1,000 daripada Persatuan Pemandu UTM dan menyaksi bacaan ikrar yang diketuai oleh Pendaftar UTM Wan Mohd Zawawi Wan Abdul Rahman.

Yang hadir pada majlis berkenaan adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni), Prof. Datuk Dr. Mohd Ismail Abd. Aziz.

Naib Canselor berkata, antara langkah yang boleh lakukan untuk menjana pendapatan adalah melalui pengambilan pelajar antarabangsa di peringkat pengajian pra-siswazah dan pasca-ijazah.

“Bagi meningkatkan sumber kepelbagaian dalaman, penjanaan pendapatan melalui penawaran program akademik dan perkhidmatan akademik seperti kursus jangka pendek dan profesional yang relevan dengan kehendak pasaran semasa.

“Selain itu, UTM akan menggunakan asetnya untuk menjana pendapatan menerusi aktiviti penyewaan ruang dan fasiliti secara optimum,” katanya.

Beliau berkata, aktiviti penyelidikan dan pembangunan dijangka tidak terjejas kerana UTM masih lagi mendapat peruntukan daripada kerajaan di samping geran penyelidikan yang diperoleh daripada pihak industri dan sumber dari luar negara.

Explore More