JOHOR BAHRU, 14 Disember 2016 – Delegasi seramai 54 kakitangan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang diketuai oleh Naib Canselornya Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi mengadakan lawatan ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini hari ini.
Hadir sama antaranya, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Profesor Dr Mohd Fadzil Abd Rahman, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Profesor Dr Kopli Bujang, 12 dekan, 15 pengarah dan staf pengurusan dan profesional.
Ketibaan mereka disambut oleh Naib Canselor UTM Profesor Datuk Ir Dr Wahid Omar, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Profesor Dr Ahmad Fauzi Ismail, Pengarah Kanan UTM International Profesor Dr Nordin Yahaya, Pengarah Pengurusan Strategi Profesor dr Shahrin Mohammad, Pemangku Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) Profesor Dr Mazlan Ahmad, Ketua Pustakawan Dr Kamariah Noor Mohd Desa dan Pendaftar Wan Mohd Zawawi Wan Abdul Rahman di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI).
Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim berkata, lawatan itu adalah sebahagian daripada Program Sumbang Saran Majlis Dekan yang diadakan di Desaru, Bandar Penawar selama empat hari yang bermula semalam.
Selain itu, mereka turut mengadakan kunjungan ke Pejabat Menteri Besar Johor di Kota Iskandar untuk mengetahui perkembangan semasa pembangunan negeri Johor, terutama di Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).
“Tujuan lawatan mereka ke Skudai untuk mengetahui bagaimana UTM bergerak pantas dan berada dalam kedudukan yang baik dalam QS World Ranking,” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan.
Sementara itu dalam sesi taklimat di Dewan Bankuet, Profesor Datuk Dr Wahid memberikan penerangan mengenai pembangunan kampus Kuala Lumpur dan Plan Global UTM 2012-2020 diikuti oleh pencapaian UTM dalam penyelidikan oleh Profesor Dr Ahmad Fauzi dan penarafan QS World Ranking oleh Profesor Dr Nordin.
Selepas itu, rombongan berkenaan dibawa melawat ke Institut Pembangunan Bioproduk (IDB), manakala Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim dan Profesor Dr Mohd Fadzil berkunjung ke Fakulti Sains.