JOHOR BAHRU, 15 November 2016 – “Pesara diseru untuk berkongsi pengalaman dan kemahiran dengan kakitangan yang baru berkhidmat dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi memastikan ‘DNA’ UTM yang ada pada mereka tidak hilang bersama dengan persaraan dari perkhidmatan universiti,”.
Gesaan itu disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Pengantarabangsaan), Prof. Dr. Rose Alinda Alias yang mewakili Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar di Majlis Sanjungan Budi 2016 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru, pagi tadi.
Turut hadir adalah Pro-Canselor, Tan Sri Dr. Salleh Mohd Nor, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni), Prof. Dr. Mohd. Ismail Abd. Aziz, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Mohd Fauzi Ismail, Pendaftar Tuan Hj. Wan Zawawi Wan Abdul Rahman dan Pengarah Kampus Kuala Lumpur, Profesor Dr Durrishah Idrus.
“Sama ada kita sedar atau tidak, setiap individu yang bekerja ‘makan gaji’ daripada kumpulan penjawat awam ataupun sektor swasta pasti akan menempuh alam persaraan satu hari nanti.
“Apa yang membezakan antara kita semua adalah bagaimana kita menerima hakikat alam persaraan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, jika pesara berpandangan positif, persaraan tidak akan menimbulkan masalah malah menyeronokkan kerana kelapangan masa untuk bersama keluarga dan diri sendiri.
Prof. Rose Alinda juga menggesa agar golongan pesara supaya memberikan perhatian terhadap aspek penjagaan kesihatan supaya dapat menikmati alam persaraan dengan lebih bermakna.
“Pada usia begini kita akan mudah dihinggapi pelbagai jenis penyakit jika memandang remeh terhadap isu penjagaan kesihatan.
“Jesteru, amatlah penting bagi kita semua untuk dapat meluangkan sedikit masa untuk menjaga kesihatan fizikan dan juga mental,” katanya.
Pada majlis berkenaan Tan Sri Dr. Salleh menyampaikan Anugerah Jasa Abadi kepada 124 orang pesara, Anugerah Jasa Setia kepada 218 staf yang berkhidmat selama 30 tahun dan Anugeah Jasa Bakti kepada 71 orang staf yang berkhidmat selama 20 tahun.