November 24, 2024

Search
Close this search box.

30 mahasiswa CCSL UTM bantu kucing terbiar

Pengunjung yang berminat untuk mengambil kucing sebagai
Pengunjung yang berminat untuk menjadi keluarga angkat kucing yang dipamerkan.

JOHOR BAHRU, 30 November 2016 – Kucing merupakan haiwan yang jinak, comel dan seringkali mendapat perhatian untuk dijadikan haiwan peliharaan. Namun populasi kucing yang cepat membiak menyebabkan binatang peliharaan itu sering terbiar dan menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan orang ramai. Justeru, salah satu langkah yang boleh dilakukan untuk mengatasi masalah lambakan kucing terbiar adalah dengan kaedah pemandulan.

Bagi menjayakan program berkenaan, sekumpulan lebih 30 mahasiswa dari Pusat Kursus Kokurikulum dan Pembelajaran Servis (CCSL) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Persatuan Pengkasihan Haiwan Terbiar Johor Bharu (Wira Kasseh) dengan kerjasama Kolej Rahman Putra UTM, dan Marlia Veterinary Pekan Nenas Animal Clinic mengadakan Program Take My Paws.

Pengarah Program, Mohamad Fahmi Abdullah, berkata bagi mengurangkan populasinya, mereka menggunakan kaedah Trap, Neuter, Release and Manage (TNRM) dengan menangkap kucing terbiar, merawat dengan memberikan vaksin dan memandulkannya sebelum dilepaskan semula ke habitat asal.

“Sekiranya kawasan tersebut kurang selamat, kucing berkenaan akan ditempatkan di pusat penjagaan haiwan persendirian atau yang dikendalikan oleh badan berkanun bukan kerajaan.

“Pemandulan adalah langkah terbaik untuk mengurangkan pembuangan kucing dan secara tidak langsung dapat menyelamatkan haiwan itu daripada menjadi mangsa penganiayaan dan penderaan,” katanya.

Orang ramai menghulurkan sumbangan bagi membantu program kucing terbiar.
Orang ramai menghulurkan sumbangan bagi membantu program menangani kucing terbiar.

Mohamad Fahmi  berkata, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) telah mengeluarkan ketetapan pada 2002 yang menyebut bahawa mengembiri binatang kesayangan seperti kucing dan anjing adalah diharuskan dengan sebab tertentu bagi menjaga kemaslahatan ummah.

“Kucing adalah haiwan yang mudah membiak  dan langkah memandulkan haiwan peliharaan itu adalah mengelakkan populasi binatang berkenaan menjadi tidak terkawal.

“Apabila terdapat terlalu banyak haiwan berkenaan, besar kemungkinan binatang itu dibuang dan  boleh menyebabkannya terdedah kepada penyakit, kecederaan dan kemalangan,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, kucing juga akan bertambah sihat setelah dimandulkan kerana pemandulan dapat mengurangkan risiko jangkitan penyakit berbahaya seperti radang pada puting susu dan kanser yang melibatkan anggota peranakan.

Objektif program itu adalah untuk memandulkan kucing jalanan di sekitar Skudai bagi mengawal populasi di samping mencari keluarga angkat binatang peliharaan itu.

Kumpulan berkenaan turut membawa lima ekor kucing yang telah melalui proses rawatan dan pemandulan menyertai pameran di Danga City Mall, Johor Bahru dan semuanya telah diambil oleh keluarga angkat.

mahasiswa dari Pusat Kursus Kokurikulum dan Pembelajaran Servis
Mahasiswa Pusat Kursus Kokurikulum dan Pembelajaran Servis.

“Pengunjung yang berminat untuk mengambil kucing berkenaan untuk dipelihara di rumah mereka dikehendaki melalui sesi temubual sebelum dibenarkan membawa pulang haiwan tersebut,” katanya.

Sempena program berkenaan mereka telah berjaya mengumpul sumbangan daripada orang ramai sebanyak RM2,200 yang akan diserahkan kepada Wira Kasseh.

 

 

Explore More