Disember 26, 2024

Persidangan GGT 2016 anjuran UTM-RISM terima 250 peserta seluruh dunia

KUALA LUMPUR, 5 Oktober 2016 –  Seramai 250 orang perserta yang terdiri dari pelbagai latarbelakang profesional dan penyelidik dari pelbagai agensi, universiti dan pusat-pusat penyelidikan dalam dan luar negeri telah menyertai persidangan ‘Geomatic and Geospatial Technology’ atau (GGT) 2016 anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Seminar yang dianjurkan dengan kerjasama dari Pertubuhan Jurukur Di Raja Malaysia (RISM) ini juga telah menerima 50 kertas kerja teknikal telah dibentangkan semasa persidangan ini.

Penyelaras Program, Prof. Madya Sr. Mohamad Nor Said berkata persidangan yang berlangsung selama dua hari (bermula 4 Oktober) tersebut adalah platform yang tepat bagi para penyelidik, ahli sains dan pembangun perisian untuk bertemu, berkongsi pengalaman dan berbincang tentang isu-isu dan pendekatan ke arah penyelesaian yang berkaitan dengan data geospatial.

“Persidangan ini yang buat kali kedua dianjurkan adalah atas dasar untuk terus mengembangkan pengetahuan, teknologi dan pengalaman dalam bidang geomatik dan geospatial bagi memenuhi permintaan komuniti berkepentingan yang semakin kompetetif.

“Penyediaan data dan perkhidmatan yang berkualiti dilihat semakin menjadi perhatian terutama dalam suasana yang melibatkan bencana alam yang kerap melanda negara pada akhir-akhir ini,” katanya.

Data geospatial menjadi input kepada para perancang pembangunan, jurutera, pengawal alam sekitar serta lain-lain perkhidmatan setara dalam menjamin kesejahteraan rakyat dan kemampanan pembangunan fizikal negara.

“Ini diterjemahkan di dalam bentuk perbincangan isu teknikal dan juga sosial dengan memanfaatkan sepenuhnya sumber-sumber sokongan kewangan dari pihak kerajaan dan industri dalam melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D),” katanya lagi.

Penganjuran seminar ini mendapat sokongan padu dari Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJT), Persatuan Jurukur Tanah Bertauliah Malaysia (PEJUTA) dan syarikat-syarikat swasta yang terdiri dari pembekal perkakasan, peralatan dan perisian geospatial.

Explore More