JOHOR BAHRU, 2 Jun 2016 – Dua wira negara yang berjaya menawan puncak tertinggi dunia, Gunung Everest melalui Tibet pada 23 Mei lalu akan menerima sambutan meriah daripada warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Teknologi, Farul Aidib Mahammad Yusoff, 22 dan graduan Sarjana Muda Sains Komputer, Azim Afif Ishak, 28 dan anggota Misi UTM Everest Tibet 2016 dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) pada jam 10.15 malam, 4 Jun 2016.
Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Wahid Omar akan mengetuai kumpulan staf dan pelajar menyambut kepulangan dua wira universiti itu.
Yang akan turut hadir , Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni Profesor Dato’ Dr Mohd Ismail Abd Aziz, Pengarah Kampus Kuala Lumpur Profesor Dr Durrishah Idrus, kakitangan dan pelajar UTM.
Tiga lagi anggota Misi UTM Everest Tibet 2016 yang akan kembali bersama mereka ialah Anis Zulaikha Zabani, 26 graduan Sarjana Muda Sains Komputer, Nur Fadzillah Nawawi 23 graduan Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum dan Ahmad Fikry Abu Bakar, 32.
Ketibaan mereka akan turut disambut oleh ibu bapa dan ahli keluarga masing-masing.
Penaung Misi UTM Everest Tibet 2016, Tan Sri Dr. Salleh Mohd Nor yang juga Pro Canselor UTM tidak dapat turut serta kerana berada di luar negara.