Mei 9, 2025

UTM Johor Bahru, 31 Oktober 2015: Bersempena sambutan 30 tahun UTM Bersama Negeri Johor, buat julung-julung kalinya, program UTM ecotourism Fun Ride 2015 telah berjaya diadakan dengan penyertaan peserta seramai hampir 250 orang yang terdiri dari berbilang kaum, organisasi dan lapisan masyarakat dalam dan luar kampus di Dataran UTM.

Program tersebut diadakan bertujuan memeriahkan lagi sambutan 30 tahun UTM dan memperkenalkan varsiti ini sebagai sebuah Universiti Awam yang terletak di Selatan tanah air berkonsepkan edupelancongan dan lestari kepada semua masyarakat kampus dan sekitar negeri Johor.

Aktiviti bermula dengan taklimat kepada peserta oleh urus setia program sebelum sesi kayuhan pada jam 8.30 pagi secara beramai-ramai dan santai bermula di Dataran UTM.

Di samping itu juga, jualan Bazar dan “Car Boot Sale” turut diadakan bagi memeriahkan lagi program tersebut .

Sebanyak beberapa kawasan utama dilalui oleh peserta antaranya Taman Rusa, Taman Tropika, Tasik Ilmu, Taman Ekuin, Dusun, Scholar’s Inn dan Hutan Rekreasi UTM.

Peserta turut diberi peluang untuk merasai detik-detik keceriaan kayuhan santai dengan aktiviti bergambar beramai-ramai di Balai Cerapan dan Stadium sambil menikmati makanan dan minuman ringan yang disediakan oleh penganjur.

Sebanyak 56 cabutan bertuah disediakan dan diumumkan menerusi majlis ringkas ketika peserta berehat dan bersantai di Arked Kolej 9 yang baharu sahaja dinaiktaraf serta berkonsepkan lestari. Peserta juga turut didedahkan dengan amalan lestari iaitu mengangkat sendiri makanan dan minuman mereka pasca selesai menikmati hidangan yang dijual di arked tersebut.

Kayuhan santai UTM ecotourism Fun Ride berakhir pada jam 12.30 tengah hari di Dataran UTM dengan acara penyampaian hadiah diberikan kepada peserta.

Rata-rata peserta menzahirkan perasaan gembira dan teruja serta mengharapkan supaya acara-acara seumpama ini diadakan dengan lebih kerap lagi pada masa-masa akan datang.

Explore More