November 27, 2024

Search
Close this search box.

Pendaki UTM-Everest Selamat Pulang ke Tanah Air

 

KUALA LUMPUR, 6 Mei 2015 – Rentetan kejadian gempa bumi yang melanda Nepal baru-baru ini dan atas faktor keselamatan, kesemua 5 orang pendaki Misi Perdana UTM Everest 2015 telah selamat pulang ke Tanah Air pada hari ini. Mereka tiba dengan pesawat Air Asia dan mendarat di KLIA2 pada jam 11.45 malam.

Pasukan terdiri daripada 3 orang mahasiswa UTM iaitu Jamhuri bin Jumari, 21, Farul Aidib bin Mahamad Yusoff, 21 dan Azham Afzanizam bin Hamzah, 27 bersama 2 orang bekas pelajar UTM, Azim Afif bin Ishak, 27 yang merupakan jurulatih dan Anis Zulaikha binti Zabani sebagai penolong jurulatih dalam misi ini.

Terdahulu mereka telah dibawa turun dari Everest Base Camp dengan menggunakan helikopter pada 1 Mei 2015 yang lalu. Kepulangan mereka disambut penuh kesyukuran oleh Pro-Canselor Tan Sri Dr. Salleh Mohd Nor, Timbalan Naib Canselor (HEMA) Prof. Dr. Mohd Ismail Abdul Aziz, pegawai kanan, staf dan pelajar UTM.

Menurut Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Wahid bin Omar, UTM amat berbangga dengan kesungguhan, keberanian, disiplin daya tahan dan komitmen yang ditunjukkan semua pendaki ini dalam menjayakan misi menawan puncak tertinggi di dunia itu demi mengharumkan nama UTM dan negara.

IMG_9973_Selects

Namun begitu, sebagai manusia kita hanya mampu merancang, Allah swt yang menentukan segala-galanya. Kita terpaksa akur dengan keadaan yang tidak mengizinkan. UTM bangga dengan semangat juang yang tinggi yang dimiliki oleh para pendaki tersebut.

Walaupun hasrat untuk sampai ke puncak belum kesampaian, bagi kami mereka semua adalah wira dan menjadi lambang keazaman yang tinggi dan kecekalan yang jitu mahasiswa/i UTM.

UTM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam Misi Perdana UTM Everest 2015 terutamanya Kerajaan Malaysia, para penaja, pihak Kedutaan Malaysia di Nepal, pihak berkuasa Nepal dan semua pihak yang bersama-sama membantu menjayakan misi ini.

Tidak ketinggalan kepada semua ahli keluarga pendaki yang begitu sabar menanti kepulangan insan-insan tersayang dan mendoakan keselamatan mereka.

Explore More