November 18, 2024

Search
Close this search box.

Pameran “Wanita Malaysia Dalam Pembangunan Secara Lestari” di MIT Museum’s Wolk Gallery, Boston oleh UTM-MIT.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Massachusetts Institute of Technology (MIT) sedang menganjurkan  pameran multimedia yang  memfokuskan kepada peranan wanita yang berinovasi dalam memperkenalkan pembangunan bandaraya secara lestari di Malaysia.

Pameran yang dinamakan “Female Faces in Sustainable Places – Malaysia Women Promoting Sustainable Development / Wajah-wajah wanita dalam daerah lestari – Wanita Malaysia mempromosikan pembangunan lestari” akan diadakan di Galeri Wolk, Sekolah Senibina dan Perancangan, MIT, Boston dari 30 April hingga 31 Julai 2015.

Pameran tersebut mendedahkan aspek-aspek inspirasi dalam budaya Malaysia kepada pengunjung di Barat melalui beberapa format seperti koleksi potret gambar bersaiz kecil dan besar, gambar-gambar persekitaran dan rakaman video interaktif wanita berinovasi dari pelbagai persekitaran,

Pameran berkenaan adalah sebahagian dari UTM-MIT Malaysia Sustainable Cities Program (MSCP) iaitu program kerjasama lima tahun antara MIT Department of Urban Studies and Planning dan UTM.

Pengarah Eksekutif Institut Sultan Iskandar (ISI), UTM, Prof. Dr. Mohd. Hamdan Ahmad yang juga merupakan Pengarah Bersama pameran ini menyatakan bahawa antara tujuan penganjuran pameran ialah untuk menerokai liku-liku para wanita penggubal dasar dan usahawan sosial tempuhi dalam menyumbang kepada pembangunan lestari di Malaysia.

femalefaces2female faces MIT femalefaces3

“Dengan adanya sokongan dari Kementerian Pendidikan, UTM-MIT MSCP dapat mendokumen dan menilai usaha-usaha pembangunan lestari di Malaysia.

“Melalui proses ini kami mempelajari akan peranan penting yang dimainkan oleh wanita sebagai ejen pengubah di bandar-bandar utama Malaysia dan kami dapat mencabar strereotaip semasa berkenaan peranan Islam dalam isu kebebasan wanita, autonomi, profesionalisma dan kuasa,” katanya.

Prof. Mohd. Hamdan selanjutnya mendedahkan bahawa wanita Malaysia turut memainkan peranan utama dalam merancang dan melaksanakan polisi pembangunan lestari. Malah jawatan seperti ketua-ketua dan pengarah di jabatan kerajaan serta swasta yang terdiri dari wanita berperanan penting dalam menentukan maksud sebenar pembangunan lestari.

Tambahannya lagi, diperingkat komuniti, “wirawati tidak didendang” yang terdiri dari pelbagai latar belakang telah membawa kelestarian dalam kehidupan terutama melalui keusahawanan sosial dipelbagai peringkat.

“Malaysia dipilih kerana negara ini telah berjaya melaksanakan polisi pembangunan lestari lebih awal berbanding kebanyakkan negara, selain dalam proses perubahan dari negara membangun kepada negara maju,” katanya.

Beliau berkata, fokus terhadap wanita Malaysia dalam pameran berkenaan akan mendedahkan kematangan demokrasi Malaysia sebagai  negara pelbagai bangsa, komuniti, dan agama yang mana warganya yang terdiri dari berbagai latar belakang bekerja bersama-sama untuk membangunkan satu bangsa yang  moden, demokratik dan progresif.

Pameran tersebut memperkenalkan kepelbagaian berkenaan wanita Malaysia yang bekerja dalam sektor ekonomi yang berbeza yang meliputi perniagaan, kerajaan, NGO, pendidikan dan kemasyarakatan. Ia juga meliputi wanita Malaysia dari kaum-kaum utama seperti Melayu, Cina, India dan juga kaum asli.

Antara kisah kejayaan wanita-wanita Malaysia yang dipamerkan ialah Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Ketua World Humanitarian Summit Secretariat dan Presiden Malaysian Medical Relief Society (MERCY Malaysia), Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, Professor Dr. Suhana Shamsuddin dari Razak School of Engineering and Advanced Technology, UTM, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Kementerian Kerajaan Tempatan, Datin Paduka Dr. Dahlia Rosly, CEO Multimedia Development Corporation (MDeC), Dato’ Yasmin Mahmood, CEO Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC), Cheryl Yeoh, Pengasas dan Pengerusi Yayasan Sukarelawan Siswa/Student Volunteer Foundation (YSS), sebuah organisasi bantuan bencana, Dato’ Zuraidah Atan, dan Ketua Perancangan dan Pematuhan, Iskandar Regional Development Authority (IRDA) Johor Bahru, Maimunah Jaffar.

“Pameran multi media tersebut akan berlangsung selama empat setengah bulan di MIT. Ianya kemudian akan dipindahkan ke galeri tumpuan di Kuala Lumpur yang mana kandungan pameran akan ditambah dengan gambar-gambar dan video-video profil yang disediakan oleh wartawan Malaysia ataupun ahli akademik.

“Female Faces dirancang dan dianjurkan oleh Profesor Larry Susskind, Pengarah Malaysia Sustainable Cities Program bersama-sama Dayna Cunningham, Pengarah SA+P’s CoLab; Bettina Urcuioli, Pengurus Program MSCP dan Gary Van Zante, Kurator Architecture and Design, Muzium MIT,” katanya.

Pameran itu menghimpunkan hasil karya jurufoto Leslie Tuttle yang meminati bidang fotografi dokumentari sosial. Karya beliau memaparkan kisah-kisah menarik yang membolehkan pengunjung berinteraksi dengan dunia.

Yang Amat Mulia Tunku Ali Redhauddin ibni Tuanku Muhriz, Tunku Besar Sri Menanti dijemput menyampaikan ucaptama perasmian pada 30 April.

Sementara itu Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, Dato Dr. Awang Adek dan Ketua Setiausaha II, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang yang mewakili Ketua Setiausaha Negara Malaysia Tan Sri Dr. Ali Hamsa juga  menghadiri majlis perasmian tersebut.

Explore More