JOHOR BAHRU, 5 May 2015 – Kakitangan yang bertugas di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) adalah digesa supaya memastikan diri mereka sentiasa terhindar daripada mengamalkan sikap seperti tolak ansur yang keterlaluan, masalah komunikasi, kurang pengetahuan dan juga terlepas pandang.
Gesaan itu dinyatakan oleh Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid Omar di dalam perhimpunan bulanan yang diadakan di Dewan Utama, Menara Razak, kampus Kuala Lumpur.
“Saya amat hairan dengan sikap sesetengah staf yang mempunyai sikap tolak ansur yang keterlaluan terutamanya di dalam melibatkan sesuatu yang amat mustahak.
“Saya tidak menafikan kepentingan untuk kita bertolak ansur tetapi harus ada hadnya. Jika ia melibatkan sesuatu yang penting, tidak salah rasanya jika anda sebagai ketua untuk mendesak demi kepentingan semua,” katanya.
Prof Wahid juga menolak amalan kurang berkomunikasi antara satu staf dengan yang lainnya dalam melakukan pekerjaan.
“Perkara ini berlaku dan kerja sering tersangkut dan tidak siap apabila tiba waktunya kerana sesama staf tidak berkomunikasi dan mengamalkan teknik ‘menganggap’ kawan faham.
“Ini juga tidak seharusnya berlaku kerana jika tidak berkomunikasi, kadangkala apa yang disiapkan tidak memenuhi spekfikasi yang diinginkan dan ini boleh menimbulkan masalah seperti tugasan itu lambat disiapkan,” katanya.
Turut hadir dalam perhimpunan itu adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof Dr Azlan Abdul Rahman dan Pengarah Kampus Kuala Lumpur, Prof. Dr. Durrishah Idrus.
Sikap kurang berhati-hati staf ketika melaksanakan tugasan juga ditegur oleh Naib Canselor dalam perhimpunan ini.
“Pada 29 April 2015 yang lalu, beberapa bahagian telah melalui proses audit oleh Audit Negara dan beberapa teguran telah dikeluarkan.
“Antara teguran itu adalah harga tidak munasabah, keselamatan peralatan, kelewatan pembekalan oleh pembekal, kelewatan pembayaran melebihi 14 hari dan juga pelbagai teguran yang seharusnya tidak perlu pun timbul.
“Apabila ditanya kembali mengapa timbulnya kesilapan ini maka ada yang menjawap kerana terlepas pandang. Ini tidak seharusnya berlaku kerana perkataan semacam ini telah lama ‘diharamkan’ di Jabatan Audit Negara di dalam usahanya menjadi sebuah organisasi professional,” katanya.
Prof. Wahid kemudiannya melancarkan UTM Business Intelligence System, sebuah perisian yang diilhamkan oleh beliau sendiri dan dibangunkan dengan kerjasama dua jabatan iaitu Canseleri dan Pusat Komunikasi dan Teknologi Maklumat (CICT).