PUTRAJAYA, 6 April 2015 – Pasukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) cemerlang menguasai acara Rowing dan Kayak di temasya Karnival Sukan Air Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2015 yang berlangsung di Komplek Sukan Air, Presint 6, Putrajaya.
Pasukan Rowing Lelaki UTM muncul sebagai pemenang tempat pertama dengan pungutan 2 emas, 1 perak dan 2 gangsa manakala pendayung Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa) berada di tempat kedua keseluruhan dengan 2 emas dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di tempat ketiga dengan kutipan 1 emas dan 2 perak.
Emas pertama UTM disumbang pasukan Coxless Four lelaki yang menewaskan UTHM dan Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM) ditempat ketiga.
Pasangan Yon Kong Chen dan Muhamad Afiq Rosland, menyumbang emas kedua UTM dalam acara Lightweight Men Double Scull. Tempat kedua pasangan UTHM, Joshua Paulraj dan Muhammad Fikri Mohd Fadzillah dan ketiga Abdul Rashid A. Hassan dan Mohammad Fakhrullah Mohd Fadzilah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Pasukan Kayak Wanita UTM juga muncul juara keseluruhan Kayak dengan pungutan 2 emas dan 1 perak. Di tempat kedua pasukan wanita adalah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dengan kutipan 1emas, 1 perak dan 1 gangsa manakala UTHM dengan 1 emas.
Emas pertama UTM disumbang Nor Fatinah Olleh dalam acara K1 500 meter menewaskan Noor Azira Ibrahim dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan ketiga Sally Ann Yap Yu Ine dari UNIMAS.
Satu lagi emas UTM dimenangi Nurain Zainalabidin dalam acara TK1 500 meter. Kedua Ronazia Kapak, UNIMAS dan ketiga Mazaitul Akma Suhaimi, UnisZA.
Secara keseluruhannya, acara Rowing kategori Wanita telah dimenangi oleh pasukan UTHM dengan kutipan 3 pingat emas dan 2 perak. Manakala pasukan UTM pula terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan pungutan 1 pingat emas dan 3 perak diikuti pasukan UnisZA di tempat ketiga dengan 1 emas dan 2 gangsa.
Juara keseluruhan Kategori Kayak Lelaki dimenangi pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan kutipan 2 emas dan 1 gangsa manakala UTHM tempat kedua dengan 1 emas dan ketiga UnisZa juga dengan pungutan 1 emas.
Secara keseluruhan 12 acara rowing bagi jarak 1000 meter dipertandingkan dan lapan acara kayak bagi jarak 500 meter dan 1000 meter melibatkan 20 pasukan universiti tempatan.