Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sentiasa mengambil berat akan keselamatan lima orang pendaki dari universiti itu yang kini berada di Everest Base Camp (EBC) berikut kejadian gempa bumi yang berlaku di Nepal baru-baru ini.
Menurut Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Wahid bin Omar, pihak universiti sentiasa berhubung secara terus dengan kumpulan pendaki ini bagi mendapatkan maklumat dan gambaran situasi dan juga keadaan di sana serta memantau keselamatan mereka. Selain itu, UTM turut bekerjasama dengan Wisma Putra dan kedutaan Malaysia di Kathmandu bagi mendapatkan perkembangan semasa keadaan di sana. Keluarga para pendaki ini juga turut dihubungi bagi menenangkan keadaan mereka.
Sesungguhnya UTM amat berbangga dengan kesungguhan, keberanian, disiplin daya tahan dan komitmen yang ditunjukkan semua pendaki dalam misi ini dalam menjayakan impian mereka menawan puncak tertinggi di dunia itu demi mengharumkan nama UTM dan negara. Namun begitu, sebagai manusia kita hanya mampu merancang, Allah swt yang menentukan segala-galanya. Kita terpaksa akur dengan keadaan yang tidak mengizinkan dan semua pendaki kita dengan kerjasama pihak kedutaan Malaysia akan pulang ke Malaysia demi keselamatan mereka. Kita mendoakan kesemua mereka akan pulang dengan selamat dan dapat bertemu semula dengan keluarga masing-masing.
UTM juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam Misi Perdana UTM Everest 2015 terutamanya Kerajaan Malaysia, para penaja, pihak Kedutaan Malaysia di Nepal, pihak berkuasa Nepal dan semua pihak yang bersama-sama membantu menjayakan misi ini.
Pasukan pendaki UTM terdiri daripada Jamhuri bin Jumari, 21, Farul Aidib bin Mahamad Yusoff, 21 dan Azham Afzanizam bin Hamzah, 27. Mereka disertai oleh jurulatih Azim Afif bin Ishak, 27 dan penolong jurulatih Anis Zulaikha bin Zabani yang merupakan pasangan suami isteri.