KENYATAAN MEDIA
HEBAHAN SEGERA
KENYATAAN MEDIA HEBAHAN SEGERA KENYATAAN NAIB CANSELOR, UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA (UTM) PROFESOR DATUK DR WAHID BIN OMAR MENGENAI KEADAAN TERKINI PENDAKI UTM DI EVEREST BASE CAMP
Johor Bahru, 29 April 2015:- Lima orang pendaki Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang kini berada di Everest Base Camp (EBC) akan menangguhkan pendakian mereka ke puncak teringgi dunia itu. Ini berikutan keadaan tidak menentu susulan kejadian gempa bumi yang berlaku baru-baru ini dan juga bagi mengelak sebarang risiko kepada mereka.
Sehubungan itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini sedang mengerakkan usaha untuk membawa balik kesemua mereka dengan kerjasama Wisma Putra dan kedutaan Malaysia di Kathmandu serta pihak berkuasa di sana.
Pihak universiti juga sentiasa berhubung secara terus dengan kumpulan pendaki ini, Wisma Putra dan pihak kedutaan di sana bagi mendapatkan maklumat dan gambaran situasi dan juga keadaan di sana serta memantau keselamatan mereka. Sesungguhnya UTM amat berbangga dengan kesungguhan, keberanian, disiplin daya tahan dan komitmen yang ditunjukkan semua pendaki dalam misi ini dalam menjayakan impian mereka menawan puncak tertinggi di dunia itu demi mengharumkan nama UTM dan negara.
Namun begitu, sebagai manusia kita hanya mampu merancang, tetapi tuhan yang menentukan segala-galanya. Kita terpaksa akur dengan keadaan yang tidak mengizinkan dan semua pendaki kita akan pulang ke Malaysia demi keselamatan mereka. Kita mendoakan kesemua mereka akan pulang dengan selamat dan dapat bertemu semula dengan keluarga masing-masing. UTM juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam Misi Perdana UTM Everest 2015 terutamanya Kerajaan Malaysia, para penaja, pihak Kedutaan Malaysia di Nepal, pihak berkuasa Nepal dan semua pihak yang bersama-sama membantu menjayakan misi ini.
Pasukan pendaki UTM terdiri daripada Jamhuri bin Jumari, 21, Farul Aidib bin Mahamad Yusoff, 21 dan Azham Afzanizam bin Hamzah, 27. Mereka disertai oleh jurulatih Azim Afif bin Ishak, 27 dan penolong jurulatih Anis Zulaikha bin Zabani yang merupakan pasangan suami isteri.
-TAMAT
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi;
Siti Salamah bt Shihab
Timbalan Pendaftar (Kanan)
Pejabat Hal Ehwal Korporat
Universiti Teknologi Malaysia
Tel: 016-380 2315
Email: salamah.kl@utm.my