November 26, 2024

Search
Close this search box.

Cabaran Global Desak UTM Perkenal Konsep Keusahawanan – Timb. Presiden Alumni UTM

JOHOR BAHRU, 23 April 2015 – Lanskap pendidikan tinggi yang kini berhadapan dengan cabaran persekitaran global telah mendesak Institusi Pengajian Tinggi di seluruh dunia untuk mengorak langkah yang lebih dinamik.
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga tidak terkecuali dalam mengorak langkah agresif ini melalui  tagline Entrepreneurial yang membawa maksud memupuk minda keusahawanan bagi mencipta nilai berimpak tinggi.
Timbalan Presiden Alumni UTM, Dato’ Yusof A. Bakar @ Md Talib di dalam ucapannya berkata langkah yang diambil tadi bakal membentuk gambaran yang unik terhadap halatuju UTM pada masa hadapan.
“Penyelesaian dinamik melalui konsep keusahawanan ini berpotensi untuk menyelesaikan lebih banyak lagi permasalahan seperti ekonomi, pengangguran dan sosial yang saban hari semakin menuntut cara penyelesaian yang lebih jitu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Konvokesyen ke-54 UTM di dataran universiti itu.

Kadar pengangguran ketika ini adalah pada kadar 3.6 peratus dan dianggap masih rendah bagi pihak yang tidak terlibat secara langsung dengan dunia pendidikan tetapi tidak pada Institusi Pengajian Tinggi.
“Walaupun angka yang ditunjukkan itu adalah kecil tapi bagi sesebuah universiti perlu ada usaha yang konkrit untuk mengurangkan kadar tersebut.
“Ini tidak ketinggalan dengan UTM yang telah mengambil langkah awal dengan menerapkan langkah keusahawanan di kalangan mahasiswanya sebagai salah satu penyelesaian untuk permasalahan ini,” katanya.
Menurutnya lagi, dengan konsep keusahawanan yang diterapkan sejak zaman pengajian mampu untuk membolehkan mahasiswa berdikari ketika tamat pengajian kelak tanpa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni, Prof. Dr. Ismail Abd Aziz, Pengarah Pusat Kerjaya UTM, Prof. Madya Dr. Othman Ibrahim dan Pengarah Festival Konvokesyen UTM ke-54, Mohd Fahmi Mohammad.

Dato’ Yusof (kiri sekali) menandatangani ‘surat watikah’ pelancaran Pesta Konvokesyen UTM ke-54 di kampus Johor Bahru sambil disaksikan oleh Prof. Ismail (dua kiri) dan Mohd Fahmi (dua kanan)
Dato’ Yusof (kiri sekali) menandatangani ‘surat watikah’ pelancaran Pesta Konvokesyen UTM ke-54 di kampus Johor Bahru sambil disaksikan oleh Prof. Ismail (dua kiri) dan Mohd Fahmi (dua kanan)

Explore More