November 26, 2024

Search
Close this search box.

UTM Perkenal Tiga Inovasi Binaan Rumah Pasca-Banjir

JOHOR BAHRU, 20 Januari 2015 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengambil langkah pro-aktif apabila memperkenalkan tiga inovasi baru binaan rumah pasca banjir yang terdiri dari Fast-Track Wall (FTW) System, Rapid Building – In – Box System (RaBIB) dan Flood Proof House.
Dalam satu sidang media yang diadakan di Makmal Hidraulik, Fakulti Kejuruteraan Awam, Dekan Penyelidikan Bersekutu (Research Allience) bagi bidang Construction, Prof. Dr. Muhd Zaimi Abd Majid berkata system FTW adalah merupakan satu teknik binaan rumah pasang-siap dengan menggunakan acuan bagi mengurangkan kos buruh.
“Sistem ini direka menggunakan acuan yang diperbuat dari plastik dan besi. Teknik ini mampu mengurangkan kos binaan sehingga 20 peratus dan pekerja sehingga 60 peratus.
“Selain faktor kos, acuan yang digunakan juga bersifat tahan lasak sehingga boleh digunakan lebih 30 kali, serta ringan dan boleh dipikul dengan tenaga manusia,” katanya.
UTM juga menyediakan sebuah lagi model rumah yang dapat disiapkan dalam masa yang singkat iaitu rumah kontena dua tingkat dengan kos RM120, 000.00.
“Rekabentuk rumah berkenaan dihasilkan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Awam, Dr. Tan Cher Siang dan juga rakan penyelidiknya dari Fakulti Alam Bina, Dr Lim Yaik Wah.
“Rumah ini dibina dengan menggunakan kontena terpakai di bahagian bawah dan bahan besi serta kayu ringan di tingkat atas. Berkeluasan 203 kaki serta dilengkapi dengan dua bilik tidur serta satu bilik air. Ia amat sesuai untuk didiami oleh keluarga kecil dan mengambil masa dua minggu sahaja untuk disiapkan,” katanya.
UTM turut tampil dengan model kediaman terapung yang dikenali dengan nama ‘Rumah Amfibia’ ciptaan Prof. Madya Dr. Mohamad Ibrahim Mohamad sebagai penyelesaian terhadap masalah banjir yang kerap melanda negara.
Prof. Mohamad Ibrahim berkata bahagian bawah rumah dipasang dengan konkrit ‘pontoon’ yang boleh terapung secara vertical apabila paras air meningkat selain dilengkapi sistem sokongan lateral dengan memasang tiang di sekelilingnya bagi mengawal kenaikan rumah secara stabil.
“Dengan konsep ini, rumah tidak akan rosak ketika dilanda banjir, bagaimanapun perlu diketahui bahawa kaedah ini hanya boleh digunakan jika kita membina rumah baru dan memakan masa sehingga tiga bulan untuk disiapkan.
“Kos bahan pembinaan juga berjumlah RM20,000.00 tidak termasuk upah kos pembinaan rumah berkenaan,” katanya lagi.

Dari kiri, Dr Lim Yaik Wah dan Dr. Tan Cher Siang (rumah kontena), Prof. Zaimi (model rumah FTW) dan juga Prof. Madya Mohamad Ibrahim (model Rumah Amfibia) ketika sidang media di Fakulti Kejuruteraan Awam, kampus Johor Bahru.
Dari kiri, Dr Lim Yaik Wah dan Dr. Tan Cher Siang (rumah kontena), Prof. Zaimi (model rumah FTW) dan juga Prof. Madya Mohamad Ibrahim (model Rumah Amfibia) ketika sidang media di Fakulti Kejuruteraan Awam, kampus Johor Bahru.

 

Explore More