8 September 2014 – Tahun 2014 menyaksikan UTM sebagai tuan rumah sesi dialog diantara IPTA-IPTS dan Majlis Akreditasi Lembaga Juruukur Bahan Malaysia. Seramai 60 orang wakil dari 25 institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menawarkan program Ukur Bahan di peringkat Sarjana Muda serta Diploma telah berkumpul di UTM Kuala Lumpur untuk sesi tahunan ini.
Sebagai Universiti pertama yang menawarkan program Ukur Bahan di Malaysia, penganjuran ini merupakan satu kepercayaan dan penghargaan tinggi oleh LJBM dan masyarakat akademik yang lain dalam memartabatkan profession Juruukur Bahan di negara ini. Sesi dialog ini merupakan platform bagi pihak LJBM memantau perjalanan program Ukur Bahan agar selari dengan kehendak industri yang terkini selain dapat berkomunikasi dengan institusi pengajian tinggi mengenai isu-isu yang berkaitan hubungan akademik-industri.
Pada sebelah pagi Dekan Fakulti Alam Bina, Prof. Madya Dr. Roslan Amirudin telah memberikan ucapan selamat datang kepada wakil-wakil universiti. Sesuai dengan tujuan sesi dialog ini sebagai medan untuk ahli akademik berinteraksi dan berkongsi pandangan, dengan Ketua Jabatan Ukur Bahan Dr. Kherun Nita Ali sebagai pemudahcara, wakil-wakil IPTA dan IPTS telah mengambil kesempatan untuk berbincang mengenai isu-isu terkini melibatkan pengajian dan profesion Ukur Bahan. Hasil perbincangan tersebut telah dibentangkan oleh Prof Dr Abd Ghani Khalid ketika Sesi Dialog Majlis Akreditasi yang diadakan pada sebelah petangnya.
Pengerusi Majlis Akreditasi LJBM, Prof Sr Dr Wan Maimun Wan Abdullah yang juga merupakan Profesor Tamu di Jabatan Ukur Bahan sangat berpuas hati dengan perjalanan sesi dialog ini dan berharap ianya menjadi contoh kepada penganjuran yang akan datang.
Sesi dialog yang sama akan diadakan di Heriot-Watt University Malaysia pada tahun hadapan.