Disember 27, 2024

UTM tampil sederhana dalam Majlis Sambutan Aidilfitri hormati tragedi buruk timpa negara

JOHOR BAHRU, 12 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tampil dengan konsep kesederhanaan dalam Majlis Sambutan Aidilfitri 2014 bagi menghormati beberapa tragedi buruk yang menimpa negara.
Sesuai dengan konsep kesederhanaan yang diperkenalkan, pihak universiti telah mengambil pendekatan dengan menukar nama majlis tersebut kepada Majlis Tautan Ukhuwah Syawal.
Pengerusi Majlis Tautan Ukhuwah Syawal UTM, Prof. Madya Dr. Azhar Mohamad berkata langkah ini diambil berkaitan beberapa tragedi hitam yang menimpa negara dan dunia amnya.
“Syawal pada tahun 2014 ini disambut dengan sedikit muram terutamanya dengan tragedi demi tragedi seperti kehilangan MH370 dan nahas MH17 yang menyedihkan dan memberikan kesan mendalam kepada negara kita.
“Begitu juga kita dihidangkan dengan berita kekejaman pihak zionis Israel terhadap penduduk Gaza di bumi Palestin ketika sinar Syawal menjelma, “ katanya lagi.
Beliau yang ditemui selepas pelancaran Majlis Tautan Ukhwah Syawal peringkat UTM juga berkata mengenai perubahan fokus pada sambutan tahun 2014.
“Sambutan pada tahun 2014 ini juga memberikan tumpuan yang lebih kepada aspek-aspek kerohanian dan keinsafan diri seperti pengajuran sesi nasyid dan juga ceramah mengenai muhasabah diri yang disampaikan oleh saya sendiri.
“Berbeza dengan tahun sebelum yang lebih menumpukan kepada aspek jamuan, fokus tahun ini lebih menimbulkan kesedaran di dalam diri setiap staf tentang keindahan menyambut Aidilfitri di Malaysia tanpa dibelenggu rasa gelisah dan takut akibat bahana perang,” katanya.
Prof. Azhar juga tidak menolak kemungkinan untuk idea ini diteruskan pada majlis sambutan Aidilfitri di masa hadapan.
“Tidak ada masalah untuk kita teruskan malah kita akan tetap mengusahakan supaya sambutan Aidilfitri ini berjalan dengan penuh kesedarhanaan pada masa hadapan selaras dengan konsep Islam itu sendiri yang menuntut umatnya bersederhana dalam segala aspek kehidupan,” katanya.
Menghadiri majlis adalah Naib Canselor, Prof. Ir. Datuk Dr Wahid Omar, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Pengantarabangsaan, Prof. Dr. Ros Alinda Alias, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim dan Timbalan Naib Canselor Pembangunan, Prof. Dr. Azlan Abdul Rahman.

Prof. Wahid (tengah) melawat salah sebuah gerai makanan di Majlis Tautan Ukhwah Syawal di kampus Johor Bahru
Prof. Wahid (tengah) melawat salah sebuah gerai makanan di Majlis Tautan Ukhwah Syawal di kampus Johor Bahru

Explore More