JOHOR BAHRU, 24 Januari: – Universiti Teknologi Malaysia(UTM) dan Pusat Pendidikan Hidayah (PPH) bersetuju menjalin kerjasama dalam pelbagai aktiviti berkaitan akademik.
Naib Canselor Profesor Ir Dr Wahid Omar berkata, bidang kerjasama itu merangkumi pembangunan kapasiti, khidmat masyarakat, latihan industri, pengurusan persekitaran dan tenaga.
Selain itu, kerjasama berkenaan diperluaskan dalam bidang penyelidikan, perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi, tenaga pengajar selain berpeluang menggunakan kemudahan bilik kuliah dan dewan di UTM.
Bagi menjayakan kerjasama berkenaan, UTM dan PPH menandatangani perjanjian yang membabitkan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Fakulti Komputean di pusat pembelajaran itu di Kampung Sinaran Baru, dekat sini hari ini.
“Kerjasama ini membabitkan Fakulti Kejuruteraan Awam dan Fakulti Komputeran yang wujud sejak bangunan pertama Sekolah Rendah Islam Hidayah didirikan pada 1989 yang menggunakan kepakaran dan khidmat pesyarah di fakulti berkenaan,” katanya semasa menyampaikan ucapan di majlis menandatangani pejanjian persefahaman di PPH di Kampung Sinaran Baru, dekat sini hari ini.
Fakulti Kejuruteraan Awam dan Fakulti Komputeran masing-masing diwakili oleh Dekan, Profesor Dr Shahrin Mohammad dan Profesor Dr Mohd Aizani Maarof manakala PPH oleh Lembaga Pemegang Amanah, Ahmadon Bakri.
PPH adalah sebuah institusi pembelajaran swasta Islam yang mengendalikan Sekolah Rendah Islam Hidayah dan Sekolah Menengah Islam Hidayah. Pusat pembelajaran itu sinonim dengan kecemerlangan Pendidikan Holistik Berkualiti memberikan perkhidmatan pendidikan Islam yang komprehensif bermula dari peringkat rendah hingga menengah.
PPH mengamalkan budaya ilmu dan perkongsian sumber dengan masyarakat awam dalam memberikan perkhidmatan pendidikan berkualiti sejak 1989 dan akan menyambut ulang tahunnya yang ke 25 pada tahun ini.
Selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian, Prof. Wahid melakukan pecah tanah dalah diharapkan agar kerjasama ini akan dapat memenuhi keperluan berterusan aspek pembangunan pendidikan di PPH.