November 18, 2024

Search
Close this search box.

Pemaju perumahan di China beli Solar Home-UTM

JOHOR BAHRU, 2 Disember 2013: – Kumpulan Solar Home Universiti Teknologi Malaysia (Solar Home-UTM) berjaya menarik minat syarikat pemaju perumahan di Datong, China membeli protaip rumah solar ciptaan mereka.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir Dr Mohd Azraai Kassim berkata, rumah berkuasa solar yang dikenali sebagai UTM Eco Home dijual dengan harga RM 350,000 selepas dipamerkan di Solar Decathlon China 2013, (SDC2013) di Datong, China pada 15 Julai hingga 18 Ogos 2013.

Menurutnya, UTM Eco Home menampilkan rekabentuk yang selesa dan fleksibel serta dilengkapi sistem kelengkapan rumah berteknologi tinggi dan pintar selain boleh dijadikan ruang kerja dan pejabat.

“Melalui perjanjian jualbeli ini, UTM akan memberikan khidmat nasihat berkaitan penyelenggaraan UTM Eco Home, manakala perbelanjaan perjalanan dan penginapan akan ditanggung oleh pihak syarikat.

“Kerjasama ini akan berlangsung selama tiga tahun dan akan menjadikan UTM Eco Home sebagai model penyelidikan berkaitan dengan teknologi pembinaan yang lestari dan mesra alam di Datong, katanya disidang media di DEwan Sultan Iskandar hari ini.

UTM Eco Home dibina oleh kumpulan Solar Home-UTM yang dianggotai oleh 34 orang dan diketuai oleh Prof. Dr. Muhd Zaimi Abd Majid mewakili Malaysia ke pertandingan Solar Decathlon China 2013 yang disertai oleh 23 buah kumpulan daripada institusi pengajian tinggi dari seluruh dunia.

Dalam pertandingan yang julung-julung kali diadakan di rantau Asia itu, UTM Eco Home telah memenangi kategori energy balance, salah satu daripada sepuluh kategori yang dipertandingkan.

Kategori berkenaan memerlukan peserta memperolehi keseimbangan dalam penggunaan kuasa elektrik supaya tidak melebihi kuasa elektrik yang dijana melalui panel solar. UTM Eco Home telah mendapat markah penuh bagi kategori ini.

SDC2013 telah dirasmikan oleh Datuk Bandar Datong pada 2 Ogos 2013. Majlis perasmian tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UTM, Y. Berbahagia Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai bin Kassim diiringi pegawai kanan UTM serta pegawai di Kedutaan Malaysia di China.

Profesor Mohd Azraai berkata, berdasarkan pencapaian itu, UTM berharap penglibatan dalam pertandingan antarabangsa dapat membuka peluang untuk pelbagai usahasama lain pada masa hadapan dalam perkongsian kepakaran khususnya untuk melonjak lagi aktiviti penyelidikan di negara ini.

“Ia juga akan meningkatkan lagi tahap ilmu dan kemahiran pelbagai pihak yang terlibat dan amat yakin bahawa usaha ini akan menempatkan universiti ini ke tahap yang lebih tinggi di persada dunia,” katanya.

Explore More