November 23, 2024

Search
Close this search box.

UTM Lancar Konsep Pejabat Terbuka

JOHOR BAHRU, 7 Januari 2013 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM)  memperkenalkan konsep pejabat terbuka untuk  lahirkan  suasana kerja  lebih  kondusif dan kompetatif.

Pejabat Penyelidikan Bersekutu (Research Alliance), di UTM Johor Bahru menjadi pejabat pertama menggunakan konsep berkenaan yang mengambil kira ruang kerja yang lebih ekonomik dan pelbagai guna dengan mengurangkan pengunaan kertas.

Dr Zaini memotong riben merasmikan pejabat konsep terbuka Penyelidik Bersekutu di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim.

Kaedah yang membezakan pejabat ini adalah dari segi susunan ruang kerja yang tidak lagi menggunakan panel atau bilik, sebaliknya berbentuk terbuka dengan reka bentuk perabut yang moden, mudah alih dengan kombinasi warna ceria.

Naib Canselor, Profesor Datuk Ir Dr Zaini Ujang berkata, konsep pejabat terbuka adalah julung kali dilaksanakan di UTM dan akan diperluaskan ke bahagian lain di pada masa akan datang kerana perlaksanaannya dapat menjimatkan ruang dan mengurangkan isu kawalan terhadap staf.

“Konsep ini telah lama dilaksanakan di universiti terkemuka di dunia antaranya Harvard University dan Cambridge University dapat mewujudkan kerjasama antara disiplin penyelidikan di UTM ,” katanya semasa merasmikan  pejabat konsep terbuka Penyelidikan Bersekutu di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, pagi ini.

Konsep pejabat terbuka mewujudkan kerjasama antara disiplin penyelidikan, menggalakkan pencambahan idea, menjimatkan ruang dan staf.

Menurutnya, suasana kerja di pejabat terbuka mampu menggalakkan percambahan idea, mengurangkan birokrasi dan mewujudkan semangat kerja yang tinggi.

Rekebentuk perabut adalah hasil kreativiti dan inovasi staf UTM, iaitu meja bekerja diilhamkan daripada kelopak bunga cempaka yang keadaannya boleh diubahsuai pada bila-bila masa.

Manakala meja perbincangan diilhamkan daripada pembentukan titisan hujan yang disusun menjadi sinergi dan terbentuklah satu lopak perbincangan.

“Kabinet direka supaya boleh digunakan untuk menulis semasa sesi perbincangan dan juga berfungsi sebagai papan layar projektor.

“Di hadapan kabinet berkenaan pula diletakkan meja perbincangan kumpulan kecil yang lebih menjimatkan masa dan ruang,” katanya.

Anggaran kos perabot adalah RM80.000.00, manakala anggaran kos ubahsuai adalah RM150.000.00.

Pejabat Penyelidik Bersekutu sebelum ini terletak di fakulti dan penempatan semula pejabat berkenaan di Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim akan memudahkan lagi pengurusan pentadbiran, menjimatkan penggunaan bilangan staf dan urusan berkaitan penyelidikan menjadi lebih cepat dan mudah. Usaha yang dilaksanakan ini diharapkan mampu memperkasakan lagi penyelidikan di UTM.

Dr Zaini menunjukkan almari yang boleh dijadikan papan putih dan layar projektor.

Explore More