JOHOR BAHRU, 4 Disember : Pro- Canselor Tan Sri Dr. Salleh Md Nor mengingatkan mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) supaya mengekalkan keharmonian dan perpaduan kaum sedia ada.
Mereka juga tidak seharusnya membeza-bezakan antara satu sama lain berdasarkan ras ataupun keturunan mahupun latarbelakang satu dengan lain.
“Jika kita tidak bersatu maka tiadalah perpaduan yang terbentuk kerana perpaduan itu adalah asas kemakmuran dan tidak mungkin dapat dipupuk jika konflik antara kumpulan mengatasi segalanya,” katanya.
Beliau berucap ketika merasmikan Program 8 Sekawan, Perpaduan dan Transformasi Minda di Stadium UTM pada 2 Disember 2011.
Turut menghadiri majlis adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni, Prof. Datuk Dr. Tajuddin Ninggal.
Tan Sri Salleh juga mengingatkan mahasiswa agar berusaha keras untuk mengekalkan perpaduan tanpa mengira bangsa dan kaum masing-masiing.
“Pelajar semua harus ingat bahawa kita semua datang ke sini daripada pelbagai latar belakang dengan satu tujuan iaitu untuk menuntut ilmu.
“Oleh itu, jadikanlah detik ini sebagai satu kenangan indah kepada semua di mana anda semua akan sama-sama mengenangnya ketika meninggalkan kampus ini, katanya lagi.
Program 8 Sekawan ini adalah kesinambungan daripada acara siri pertama yang telah dijalankan pada tahun lepas yang mana pelajar yang menyertai program ini dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang mengandungi lapan orang dan akan dibimbing oleh seorang fasilitator dan menjalani Latihan Dalam Kumpulan (LDK).
Latihan berkenaan mendorong mereka untuk berkenal mesra antara satu sama lain, selain menyemai semangat setia kawan, kerjasama dan perpaduan selari dengan hasrat konsep 1 Malaysia.
Acara yang telah disertai oleh kira-kira 1,500 orang pelajar baru itu adalah bersifat serampang dua mata untuk menyatukan mahasiswa dengan semangat setiakawan, kejiranan dan kekitaan di samping menjadi wahana untuk memenangi hati dan nurani mahasiswa selaras dengan dasar yang disarankan Kementerian Pengajian Tinggi.