Disember 28, 2024

Dato’ Seri Mohamed Khaled menyempurnakan gimik perasmian penutup bersama Prof. Zaini sambil diperhatikan oleh Dato’ Ab. Rahim dan Wan Ahmad Hazwan.

JOHOR BAHRU, 13 November:  Menteri Pengajian Tinggi Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tidak menghalang kebebasan mahasiswa untuk mengemukakan pandangan.

Menurutnya, Seksyen 15 (5) (a) AUKU adalah untuk memastikan matlamat utama pendidikan bagi membina minda dan keupayaan intelektual pelajar .

“Banyak pihak membuat tafsiran Seksyen 15 (5) secara tersurat dengan mengatakan akta yang diperkenalkan itu menyekat kebebasan pelajar.

“Secara tersirat AUKU sebenarnya memberi kebebasan kepada pelajar untuk memberikan pandangan dan cadangan tanpa terikat dengan mana-mana parti politik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis penutup Konvensyen Pemimpin Pelajar IPT 2011 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dekat sini hari ini.

Majli berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi Dato’ Ab. Rahim Md Noor, Naib Canselor Profesor Dato’ Ir. Dr. Zaini Ujang dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni UTM Profesor Datuk Mohd Tajuddin Haji Ninggal.

Menurutnya, sekiranya pelajar dibenarkan menyertai parti politik mereka tidak lagi bebas mengemukakan pandangan kerana terikat dengan ideologi parti politik yang mereka sertai.

“AUKU yang diwujudkan pada tahun 1971 telah dipinda pada tahun 2009 dengan mengambil pandangan pelbagai pihak termasuk mahasiswa, ahli akademik, ibu bapa dan masyarakat.

“Akta yang diperbaiki lebih baik berbanding sebelumnya dan memberikan kebebasan kepada pelajar untuk menyuarakan pandangan dan pendapat asalkan tidak melibat politik kepartian,” katanya.

Beliau berkata, konvensyen pada hari ini memberi peluang kepada pelajar mengemukakan resolusi hasil daripada perbincangan di kalangan pemimpin mahasiswa tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak.

Explore More