November 22, 2024

Search
Close this search box.
DYMM Sultan Ibrahim melihat buku yang ditulis oleh Dato’ Haji Abdul Rahim Ramli (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh Dr Zaini dan Dato’ Haji Abdul Ghani Othman.

 

SKUDAI, 13 September – Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan berangkat mencemar Duli untuk melancarkan buku Sejarah Adat Istiadat DiRaja Johor di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dekat sini, hari ini.

Buku berkenaan yang ditulis oleh, Setiausaha Jumaah Majlis DiRaja Johor Dato’ Haji Abdul Rahim bin Ramli adalah berdasarkan kepada penyelidikan dan pengalaman beliau merancang, mengurus dan melaksanakan istiadat istana selama 40 tahun. Beliau  merupakan Karyawan Tamu UTM.

Buku tersebut diterbitkan oleh Penerbit UTM Press mengambil masa setahun untuk proses penerbitan termasuk mengumpul bahan, menulis, menyunting dan mencetak.

Buku ini memaparkan adat isitadat Kesultanan Johor bagi  membolehkan pembaca mengetahui dengan lebih mendalam mengenai asal-usul adat istiadat istana Johor yang memang terkenal dengan ciri-ciri kebudayaan yang unik.

Beberapa aspek evolusi sejarah dan kebudayaan ikon Johor, seperti pakaian Melayu Telok Belanga, Askar Timbalan Setia Negeri, Lagu Bangsa Johor dan Mahkota Kerajaan terdapat dalam buku ini

Selepas itu, baginda berkenan melancarkan minyak wangi Sultan Ibahim Satu (SI 1) dan Sultan Ibrahim Dua (SI 2) yang merupakan minyak wangi yang direka khas oleh penyelidik di Institut Pembangunan Bioproduk, UTM untuk Duli Yang Maha Mulia  Sultan Ibrahim.

Minyak wangi tersebut dihasilkan melalui pelbagai proses dari sumber yang dipilih secara teliti dari bahan yang berkualiti dan bermutu tinggi seperti minyak pati Zaffran yang diimport khas dari India dan minyak pati ambar dari Iran.

DYMM Sultan Johor menyapu minyak wangi ke tangan Dr Zaini semasa melancarkan minyak wangi jenama Sultan Ibrahim.

Bahan utama  menentukan ketahanan bau minyak wangi ini adalah minyak pati gaharu gred A yang diperolehi dari pengeluar tempatan selain gabungan pati minyak kijang dan kasturi yang  merupakan bahan tambahan dan menjadi nadi bagi menghasilkan aroma yang menarik dan mengharumkan.

Di majlis yang sama Sultan Johor berkenan menandatangani plaque sebagai tanda merasmikan bangunan Institut Pembangunan Bioproduk (IBD).

Bangunan berkenaan merupakan premis tambahan IBD yang dahulunya dikenali sebagai Loji Pandu Kejuruteraan Kimia atau Chemical Engineering Pilot Plant (CEPP) yang ditubuhkan pada tahun 1998 dengan peruntukan khas sebanyak RM45 juta.

Bangunan tambahan ini dibina di bawah peruntukan RMK-9, yang melibatkan kos sejumlah RM3.5 juta yang menjadi pusat sehenti  perbincangan antara pihak industri dan penyelidik di IBD.

IBD dilengkapi tiga platfom teknologi yang amat kritikal dalam pembangunan bioteknologi iaitu Bioproses, Herba dan Biovalidasi.  Makmal Bioproses menjalankan penyelidikan dan pembangunan produk mikrobial yang merangkumi bidang “fisiologi mikrobilogi”, teknologi fermentasi dan aplikasi mikrobiologi.

Makmal Bioproses herba mampu menjalankan pra proses hingga ke proses pengekstrakan herba. Manakala Makmal Biovalidasi IBD pula berupaya menentukan profil, keberkesanan dan kualiti sesuatu produk itu sebelum dipasarkan dengan menggunakan peralatan-peralatan analisis yang efektif.

Makmal ini juga telah menerima  ISO 17025 Akreditasi daripada Standard Malaysia   sejak tahun 2009.  Makmal herba, metabolik, bioproses dan biobaja pula telah diberikan taraf Bionexus Partners oleh Malaysian Biotechnology Corporation (MOSTI).

Selepas itu, baginda berangkat ke padang kawad untuk menyertai ribuan warga kampus UTM menghadiri majlis jamuan hari raya.

Explore More