November 24, 2024

Search
Close this search box.

“JPJ” – mahasiswa FKA turun ke jalan

Prof. Mohamad dan Prof. Madya Dr kamaruddin Ahmad sedang memampatkan asfalt sambil diperhatikan oleh Dr Norhidayah.
Prof. Mohamad dan Prof. Madya Dr Kamaruddin Ahmad sedang menampal jalan berlubang sambil diperhatikan oleh Dr Norhidayah.

JOHOR BAHRU, 19 Oktober 2016 – Sekumpulan 50 mahasiswa tahun dua Fakulti Kejuruteraan Awam (FKA) akan turun ke jalan di sekitar kampus bermula dari pagi hari ini hingga ke petang bagi menyertai program ‘Jom Patching Jalan’ (JPJ).

Program JPJ adalah khidmat komuniti pelajar kursus Kejuruteraan Jalan Raya untuk menampal jalan berlubang di sekitar kampus menggunakan bahan hasil dari penyelidikan yang dilakukan dengan campuran asfalt sejuk dan campuran asfalt panas yang mengandungi bahan nano serta asfalt yang dikitar semula.

Penyelaras Program Dr Norhidayah Abdul Hassan berkata, JPJ melibatkan kerjasama staf akademik dari Jabatan Geoteknik dan Pengangkutan serta penyelidik di bawah ‘Pavement Research Group’ dan ‘Transportation Research Group’.

Menurutnya, aktiviti itu dilaksanakan berdasarkan empat objektif utama iaitu sebagai salah satu sesi pembelajaran luar bagi pelajar yang mengambil kursus Kejuruteraan Jalan Raya (SKAA2832) untuk lebih memahami teknik penyelenggaraan jalan raya yang turut diterapkan dalam subjek berkenaan.

“Ini bertepatan dengan konsep pembelajaran secara ‘Authentic Learning’ atau ‘Real Life Learning’ yang diterapkan dalam kalangan pelajar, yang mana proses pembelajaran bukan sahaja berlaku di dalam kelas tetapi juga aktiviti luar yang menggalakkan mereka mengaplikasikan apa yang telah dipelajari,” katanya.

Program JPJ dirasmikan oleh Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Dr Mohamad Ismail.

Dr Norhidayah berkata, objektif kedua, untuk menyemai sikap positif staf akademik, penyelidik dan pelajar dalam melaksanakan kerja-kerja khidmat masyarakat.

Peserta mendengar taklimat sebelum ke lokasi jalan berlubang.
Peserta mendengar taklimat sebelum ke lokasi jalan berlubang.

“Seperti yang kita sedia maklum isu berkaitan penyelenggaraan jalan raya sangat serius dan boleh membahayakan pengguna jika sekiranya tidak dilaksanakan dengan baik.

“Jadi, program sebegini sangat bermanfaat bukan sahaja sebagai satu sesi pembelajaran terhadap pelajar tetapi juga turut membantu melestarikan aset UTM serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, objektif ketiga ialah mengguna bahan-bahan hasil daripada penyelidikan yang dijalankan oleh penyelidik FKA dan langkah berkenaan membolehkan staf akademik serta penyelidik menilai kualiti bahan-bahan yang telah dihasilkan dan membuat perbandingan dengan bahan konvensional sedia ada.

Objektif terakhir ialah dapat menjimatkan kos penyelenggaran bagi pihak UTM dengan mengurangkan kebergantungan terhadap produk yang berada di pasaran, sebaliknya menggunakan kepakaran dan kualiti bahan yang sedia ada di UTM.

“Kos bagi kerja-kerja penyelenggaraan menampal jalan di dalam UTM dianggarkan berjumlah hampir RM 20,000 setiap tahun dan program yang diadakan bertepatan dengan langkah penjimatan yang diambil oleh UTM dalam menguruskan aset-aset di dalam kampus,” katanya.

Beliau berkata, program itu akan diperluaskan ke komuniti di luar UTM sebagai salah satu projek ‘UTM Community Engagement’ pada masa akan datang yang dilihat sebagai perintis bagi menilai keberkesanan aktiviti

Kumpulan pelajar dan staf akademik yang mengambil bahagian.
Kumpulan pelajar dan staf akademik yang mengambil bahagian.

yang bakal dilaksanakan serta manfaatnya terhadap semua pihak yang terlibat sebelum diperluaskan kepada komuniti di luar UTM.

“Oleh itu, program ini diharap mendapat sokongan dan kerjasama semua pihak yang terlibat. Semoga aktiviti ini dapat menyemarakkan lagi budaya khidmat masyarakat di kalangan staf dan pelajar serta menambahbaik infrastruktur di UTM,” katanya.

Explore More